Kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Sidang Kemuncak Asean ke-47 di ibu negara hujung bulan ini bukan keputusan eksklusif Malaysia sebagai tuan rumah, sebaliknya konsensus semua negara anggota.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai Pengerusi Asean, Malaysia menghormati keputusan sebulat suara dibuat kesemua 10 pemimpin Asean berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia kekal dengan pendirian tegas menentang sebarang campur tangan Amerika Syarikat dalam isu Gaza dan Palestin.
“Trump ialah Presiden Amerika Syarikat, namun ini tidak menghentikan ketidaksetujuan kita jika ada campur tangan Amerika terhadap apa yang berlaku di Gaza dan Palestin.
“Pendirian itu tidak pernah berubah, namun sebagai pengerusi Asean, Malaysia harus menghormati keputusan sebulat suara pemimpin-pemimpin Asean,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Skuad Yayasan Pelajaran Mara Peringkat Negeri Johor 2025 di Stadium Tertutup Arena Larkin, di Johor Bahru hari ini.
Dia berkata isu kehadiran Trump itu juga berkemungkinan dibahas pada sidang Parlimen yang akan bermula esok.
“Mereka (anggota Parlimen) boleh berbeza pendapat, tetapi kita harus menghormati keputusan Sekretariat Asean,” katanya.
-Bernama






