Masyarakat diingatkan agar tidak memandang ringan sebarang kegiatan yang boleh mencemarkan imej Islam termasuk menyalahgunakan institusi agama bagi tujuan terlarang seperti pengubahan wang haram atau penyebaran ajaran sesat.
Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata sikap mengambil mudah terhadap perkara itu boleh membuka ruang kepada unsur fasad yang akhirnya menjejaskan nama baik institusi agama termasuk pondok, madrasah dan sekolah tahfiz.
“Segala bentuk aktiviti kehidupan yang membawa kepada kerosakan adalah dilarang oleh Islam dan hasil daripada kegiatan terlarang hukumnya haram. Allah itu maha indah dan hanya menerima yang halal dan baik.
“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana bertindak awal mengesan kemungkinan wujudnya kegiatan yang boleh menjejaskan institusi agama di negeri ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohamad Shukri berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan perkara itu setakat ini, namun tindakan pantas pihak berkuasa menunjukkan keprihatinan mereka terhadap kesucian Islam dan institusinya.
Beliau juga mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat tanggapan negatif terhadap semua pondok atau madrasah, sebaliknya terus membantu memperkukuh peranan institusi itu dalam pendidikan berteraskan agama.
“Tindakan menghukum secara umum tidak wajar kerana hanya segelintir kecil yang mungkin terlibat. Jangan kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilapor berkata terdapat maklumat awal berkemungkinan madrasah-madrasah tidak berdaftar di Kelantan digunakan sebagai tempat pengubahan wang haram.
Menurut Mohd Yusoff hasil risikan mendapati separuh daripada madrasah di negeri berkenaan tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Beliau berkata polis sedang memantau beberapa madrasah, pondok dan pusat tahfiz yang tidak berdaftar dengan MAIK bagi mengelak berlakunya penyalahgunaan dana dan penyebaran ajaran sesat.
– Bernama






