Malaysia Oversight

Kegagalan paip pembetungan lama punca lubang benam di Jalan Masjid India

By MkiniBM in October 23, 2025 – Reading time 3 minute
Kegagalan paip pembetungan lama punca lubang benam di Jalan Masjid India


PARLIMEN | Insiden lubang benam di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur tahun lalu berpunca daripada kegagalan struktur paip pembetungan lama yang terhakis akibat tindak balas kimia dan ketidakstabilan tanah sekitar, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa.

Zaliha berkata hasil siasatan pasukan khas juga mendapati insiden tersebut bukan berpunca daripada lapisan batu kapur seperti yang didakwa sebelum ini.

Sebaliknya, kata Zaliha ia disebabkan runtuhan setempat (localized collapse) akibat hakisan bawah tanah yang berlaku secara beransur-ansur.

“Berdasarkan analisis geoteknikal, kawasan kejadian terletak di atas formasi Kenny Hills dan didasari oleh batuan schist. Lapisan batu kapur hanya ditemui jauh di bawah permukaan, pada kedalaman antara 60 hingga 70 meter,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah menjalankan penyiasatan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Institut Jurutera Malaysia (IEM), Persatuan Geoteknikal Malaysia (MGS) dan Agensi Nuklear Malaysia.

Katanya, pasukan khas itu ditubuhkan untuk mengenal pasti punca sebenar insiden serta mencadangkan langkah mitigasi jangka pendek dan panjang bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang di masa hadapan.

2cabbf5ec5f453327d24c29479711b92

“Laporan penuh mengenai insiden ini telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 20 Ogos 2025,” katanya.

Zaliha turut memaklumkan bahawa DBKL akan mengeluarkan edisi khas laporan awam pada penghujung tahun ini, bagi membolehkan orang ramai memahami dapatan siasatan serta tindakan pembetulan yang sedang dilaksanakan.

Zaliha berharap pendedahan laporan itu akan dapat meredakan kebimbangan orang ramai terhadap dakwaan yang mengatakan Kuala Lumpur dibina di atas lapisan batu kapur yang rapuh.

Tambah Zaliha, selepas setahun insiden lubang benam itu kawasan Jalan Masjid India kini telah pulih sepenuhnya dan kembali menjadi tumpuan aktiviti orang ramai.

“Pelbagai acara seperti sambutan Deepavali dan Car Free Morning telah diadakan semula di kawasan berkenaan. Kehadiran orang ramai menunjukkan keyakinan terhadap keselamatan kawasan itu telah pulih,” ujarnya.

Tambah Zaliha lagi, pihaknya juga sedang menjalankan kajian geoteknikal menyeluruh di sekitar Segitiga Emas Kuala Lumpur, termasuk kawasan Central Business District (CBD), bagi menilai profil dan kestabilan tanah.

“Kajian itu dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi Sidang Asean 2025, untuk menjamin keselamatan infrastruktur dan utiliti bawah tanah di kawasan berisiko tinggi.

“Dapatan interim setakat ini mendapati tiada kawasan berisiko tinggi bagi kejadian lubang benam di pusat bandar,” katanya.

Susulan insiden itu, Zaliha berkata juga sedang membangunkan sistem amaran awal berasaskan data geoteknikal dan kecerdasan buatan (AI) bagi mengenal pasti risiko lubang benam di kawasan berpenduduk padat.

78ceae93ecf49ed51251d71ba3217e34

Antara teknologi yang digunakan termasuk borehole sampling, electrical resistivity, Ground Penetrating Radar (GPR), LIDAR dan INSAR bagi memetakan struktur bawah tanah serta mengesan pergerakan tanah dari masa ke masa.

“Data-data ini akan diintegrasikan ke dalam sistem sedia ada untuk menilai risiko infrastruktur dan membantu keputusan kejuruteraan yang lebih selamat,” katanya.

Selain itu, turut menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku insiden seumpamanya.

Zaliha juga mencadangkan agar laporan DBKL dikaji bersama kejadian lubang benam lain di Sepang dan Georgetown, bagi membentuk strategi mitigasi nasional yang komprehensif.

“Pendekatan ini akan memberi gambaran menyeluruh terhadap struktur tanah bandar di Malaysia dan membantu kita merangka pelan mitigasi jangka panjang,” tambahnya.

*Laporan oleh Shakira Buang, Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden



Source link