Isu-isu kritikal yang membelenggu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak akhir-akhir akhirnya turut memberi cabaran getir kepada menterinya.
Sosok Fadhlina Sidek menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak sekali gus menghangatkan perbahasan mengenai prestasinya selaku menteri serta dan kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim.
Mendepani situasi semasa dihadapi KPM dan Fadhlina, beberapa pemerhati politik dan sosial berbeza pandangan serta saranan dalam mengupas aspek semasa.
Pensyarah kanan di Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Sahul Hamid Mohamed Maiddin, berpandangan Fadhlina terperangkap dengan isu-isu semasa yang semakin mengasak portfolio Ahli Parlimen Nibong Tebal berkenaan.
Tegasnya, pelbagai kes juga pernah berlaku sebelum ini namun ia tidak mengakibatkan tekanan besar terhadap penyandangan jawatan tertinggi di KPM itu.
“Saya membuat inferens adakah kerana ini kali pertama menteri pendidikan dipegang oleh seorang wanita, maka para netizen bertindak seakan membuli beliau.
“Ini bukan kenyataan seksis tetapi berdasarkan pemerhatian dan pengamatan dalam media sosial.
“Saya sendiri tiada masalah tentangnya, tetapi terdapat segolongan netizen yang membakar sentimen tersebut di media sosial,” katanya kepada Malaysiakini.

Sahul Hamid yang juga pemerhati politik yang aktif menulis di media sosial berkata demikian ketika ditanya berhubung cabaran yang dihadapi Fadhlina khususnya ketika ada suara yang mendesak Ketua Wanita PKR itu berundur dari jawatan menteri.
Terdahulu beberapa kejadian melibatkan institusi pendidikan memberi tamparan hebat buat warga KPM.
Antaranya kes melibatkan kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Datu Mustapha, Zara Qairina Mahathir; kejadian rogol di sekolah; dan terbaru kematian pelajar perempuan SMK Bandar Utama Damansara (4) akibat ditikam pelajar junior.
Kes-kes berkenaan mendorong pelbagai kritikan disasarkan terhadap kepimpinan Fadhlina dan Putrajaya.
PM perlu tangani segera
Sahul Hamid berkata semakannya setakat semalam mendapati Fadhlina tidak mempunyai setiausaha akhbar bagi menguruskan hal ehwal media.
“Bagaimana beliau mahu menguruskan media dan persepsi sedangkan beliau sendiri tidak melantik setiausaha akhbar?
“Dalam zaman digital ini, maklumat sangat penting untuk disebar dan dikawal bagi memastikan kesahihannya.
“Beliau perlu mengambil langkah proaktif melantik setiausaha akhbar bagi tujuan penguasaan maklumat dan membina hubungan baik dengan pihak media.
“Selain itu beliau juga perlu lebih berani untuk membuat keputusan secara pantas tetapi berhemah,” jelasnya.
Mengulas mengenai kedudukan Fadhlina, Sahul Hamid berkata, perkara itu adalah kuasa prerogatif perdana menteri.
“Menteri kelihatan tidak popular di mata masyarakat umum akibat kes-kes yang berlaku di sekolah sejak akhir-akhir ini.
“Memandangkan ‘persepsi’ sangat penting dalam politik, saya fikir beliau barangkali akan digantikan dengan calon lain jika berlaku rombakan kabinet,” katanya lagi.

Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Jayum Jawan, pula berpendapat Anwar perlu segera menangani perkara berbangkit dan kemerosotan keyakinan terhadap pentadbirannya.
“Keprihatinan yang ditunjukkan menteri berkenaan jelas telah mengecewakan para pelajar dan ibu bapa. Insiden malang terbaru ini bukanlah kes yang pertama.
“Menjadi hak rakyat untuk menuntut beliau supaya meletakkan jawatan atau digantikan kerana beliau ternyata gagal melaksanakan tugas yang sepatutnya dipikul sebagai seorang menteri pendidikan.
“Beliau – seperti menteri lain yang berada dalam kedudukan ‘gagal’ sepertinya – boleh menjatuhkan kerajaan Madani,” katanya yang juga Felo Kerusi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Penganalisis politik Prof Madya Mazlan Ali pula menyoroti gaya dan pembawaan Fadhlina yang dianggap sebagai golongan aktivis pertubuhan sivil hingga menimbulkan salah faham masyarakat.
Penyampaian, penjelasan tak begitu kena
Menurut Mazlan golongan tersebut kebiasaannya sangat idealis dalam sesuatu isu.
“Saya ambil contoh seperti isu terkait anjing liar yang mengancam orang awam. Katakanlah pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan seperti membunuh anjing berbahaya itu, maka akan muncul aktivis-aktivis sivil society mempersoalkan isu perikemanusiaan yang menampakkan mereka lebih memperjuangkan nasib anjing liar berbanding kesan haiwan itu kepada masyarakat.
“Itu cara pembawaan sivil society, jadi kadang-kadang pembawaan seperti itu (untuk seorang menteri) tidak diterima oleh masyarakat.
“Saya lihat pembawaan Fadhlina seperti itu. Mungkin kerana dia dari PKR, sebuah parti yang mempunyai ramai aktivis sivil society. Mungkin juga pengaruh pemikiran ataupun gaya pembawaan seumpama itu tidak begitu sesuai,” jelasnya.
Pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia itu berkata, apabila KPM mengeluarkan kenyataan bahawa pelajar-pelajar yang disyaki terlibat dengan kes rogol dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), perkara itu menimbulkan salah faham.
Katanya, orang awam mempersoalkan mengapa pelajar yang bermasalah dan dimasukkan ke sekolah khas seperti Sekolah Henry Gurney masih dibenarkan mengambil SPM.

Walaupun kenyataan dibuat menteri terbabit adalah benar dan membawa cara berfikir pertubuhan sivil, katanya, kefahaman masyarakat tidak semestinya tepat.
“Mereka (suspek) memang boleh mengambil SPM tetapi bukan sebagai pelajar di sekolah biasa, sebaliknya di penjara atau Sekolah Henry Gurney.
“Tetapi kadang-kadang cara penyampaian dan penjelasan isu itu (oleh menteri) tidak begitu kena dengan pembawaan masyarakat, lalu timbullah salah faham.
“Pada saya, dengan pembawaan Fadhlina itu, akhirnya orang mengambil kesempatan melihat kelemahan yang ada untuk memperbesar-besarkan isu, seolah-olah beliau gagal.
“Pada saya tidak begitu sebenarnya,” kata Mazlan yang turut menuntut menteri terbabit supaya lebih bijak menguruskan isu-isu berbangkit.
Mazlan juga menegaskan betapa KPM adalah kementerian yang sangat berat tanggungjawabnya kerana membabitkan sekolah dan menghubungkan institusi keibubapaan dan juga masyarakat.
Jelasnya isu-isu yang terkait dengan pendidikan adalah sesuatu yang boleh dimanfaatkan oleh parti-parti politik untuk mendapat keuntungan politik.
“Jadi hari ini kita lihat banyak isu berkaitan dengan KPM seperti kes buli, rogol dan kes bunuh.
“Ini sebenarnya menarik perhatian, maka menteri pendidikan akan menjadi sasaran walaupun pada saya kita tak boleh salahkan sekolah dan menteri semata-mata.
“Ia juga berkait rapat dengan institusi kekeluargaan juga.
“Kes-kes yang berlaku itu ada kaitan dengan aspek kekeluargaan, salah didik, dan persekitaran yang mungkin menyebabkan pelajar menjadi ganas,” katanya.






