Polemik tentang masa depan MIC nampaknya kini ‘berjangkit’ kepada satu lagi parti komponen BN yang signifikan kepada gabungan tersebut – MCA.
Kali ini seorang bekas pemimpin MCA membidas presiden parti itu, Wee Ka Siong.
Pun begitu pada asasnya Ti membuat kenyataan tersebut untuk mengecam DAP, namun menggunakan ruang yang sama ‘menyiku’ Wee secara bersahaja.
Untuk menyampaikan maksud yang ingin disampaikannya, Ti membandingkan sikap Wee dengan Presiden MIC, SA Vigneswaran, yang dianggapnya berbeza pada ketika ini.
“Presiden MIC TS Vigneswaran telah bersuara mengatakan bahawa MIC akan mendekati dan terbuka kepada parti lain, tetapi Presiden MCA DS Wee Ka Siong masih berdiam diri,” katanya di Facebook.
Untuk rekod kenyataan bekas Naib Presiden MCA itu merujuk kepada laporan Malaysiakini yang menyatakan bahawa MIC sedang terbuka untuk memilih hala tujunya ekoran layanan yang diberikan kerajaan kepada mereka sekarang.

Berucap di majlis MIC Perak, Vigneswaran berkata, langkah itu diambil demi kesejahteraan masyarakat India di negara ini.
Dia bagaimanapun berkata, setakat ini MIC belum belum menerima jemputan daripada mana-mana parti atau gabungan lain, namun menyatakan sudah tiba masa untuk parti itu mengambil tindakan demi kepentingan mereka.
“Jadi saya telah memutuskan untuk membuka pintu perbincangan dengan pihak lain.
“Jika ia memberi manfaat kepada parti, saya akan lakukan apa sahaja yang perlu untuk masyarakat India,” katanya.
Kedudukan selesa dalam sistem
MCA dan MIC sama-sama mempamerkan pencapaian tidak membanggakan dalam dua PRU lalu. MCA kini mempunyai hanya dua kerusi di Dewan Rakyat manakala Tapah menjadi satu-satunya kerusi yang dimenangi MIC.
Tiada mana-mana ahli parlimen kedua-dua parti diberikan jawatan dalam kabinet kerajaan perpaduan.
Sementara itu dalam hantaran sama, Ti mengecam DAP dan menganggap reformasi yang dilaungkan oleh parti itu berkubur di depan pintu Umno.
“Ingat lagi apabila pemimpin DAP menjeritkan penolakan mereka kepada ‘rasuah Umno‘ dulu?
“Hari ini mereka dengan sukarela berbaris ke Ibu Pejabat Umno untuk taklimat kerajaan dan menghalalkan simbol-simbol yang pernah mereka tentang
“Di mana integriti institusi yang dijanjikan DAP?
“DAP tidak mengubah sistem. Mereka hanya mencari tempat duduk yang selesa di dalamnya,” kata Ti.

Kenyataan itu merujuk kepada lebih 30 ahli parlimen DAP – termasuk pemimpin tertinggi parti terbabit seperti setiausaha agung Anthony Loke, penasihat Lim Guan Eng dan naib pengerusi Chong Chieng Jen – menghadiri taklimat mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kuala Lumpur.
Sesi itu diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir Naib Presiden Umno Johari Ghani dan setiausaha agung Asyraf Wajdi Dusuki.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Chan Foong Hin, yang berada di majlis itu berkata lawatan berkenaan menandakan kematangan politik dan mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kerjasama dwipartisan.