KUALA LUMPUR: Di sepanjang Jalan Petaling yang sibuk, dengan kemeriahan pelancong tawar-menawar harga untuk membeli cenderahati dan peniaga giat mempromosikan barangan jualan mereka kepada pelanggan, terdapat sebuah kedai lama, Kedai Ubat Kien Fatt terletak di bangunan warisan yang melambangkan elemen perpaduan Malaysia.
Sebuah papan tanda dengan empat bahasa — Bahasa Melayu, Jawi, Mandarin dan English — dipamerkan dengan jelas di kedai perubatan tradisional Cina (TCM) itu yang telah beroperasi sejak tahun 1942.
Perniagaan yang telah berusia 83 tahun itu terus menjadi tumpuan pelanggan setia dan pelancong yang datang ingin mengetahui lebih lanjut.
Melangkah masuk ke dalam kedai itu, bau herba semula jadi memenuhi ruang, dengan pelbagai jenis herba dan akar kayu kering disimpan dengan baik di dalam lebih 300 laci kayu.
Ng Chee Yat, 68, generasi ketiga yang menguruskan kedai itu, sedang melayan seorang pelanggan sambil menerangkan dengan teliti mengenai kegunaan ubat tersebut.
Di sudut lain kedai itu, di sebalik kaunter, seorang pekerja yang mempunyai pengalaman selama 41 tahun sedang menimbang dan membungkus herba dan akar kayu untuk pelanggan sambil bergurau mesra dengan mereka.
Dengan senyuman, Ng menyapa wakil Bernama dan menjemput kami duduk di sebuah meja yang terletak di penjuru kedai ubat Cina tertua dan terakhir yang masih kekal bertahan di Chinatown itu, tempat pelanggan berunding dengannya mengenai penawar bagi pelbagai jenis penyakit.
Ng, yang mengambil alih pengurusan kedai pada 2000 ketika usia mencecah 43 tahun selepas pemergian ayahnya, berkata beliau masih mempunyai minat mendalam untuk berbakti dan memenuhi keperluan masyarakat selagi kudratnya mengizinkan.
“Jika saya masih boleh bekerja, kenapa tidak? Kalau saya boleh membantu, saya akan bantu. Jika saya tidak dapat tolong, saya akan tunjuk jalan (lazimnya pergi ke klinik),” katanya.
Beliau berkata keutamaannya adalah membantu pelanggan, terutama dalam kalangan yang kurang bernasib baik dan tidak mempunyai pemahaman mendalam mengenai ilmu perubatan.
Tujuannya untuk mengelak orang ramai mendapatkan bantuan daripada pengamal yang tidak bertauliah atau membazirkan wang untuk rawatan yang tidak diperlukan.
“Saya cuba membantu menyelesaikan masalah kesihatan yang dialami mereka yang kurang berkemampuan. Di sini, kami rapat dengan masyarakat dan pelanggan kami terdiri daripada pelbagai kaum — Cina, India dan Melayu,” katanya.
Seperti kebanyakan wanita Melayu, seorang daripada penulis telah diajar untuk mengamalkan rawatan tradisional bagi memulihkan tenaga dan mempercepat proses penyembuhan selepas bersalin, dilengkapkan dengan perubatan Barat.
Apabila anak lelaki penulis mengalami jaundis yang berpanjangan, penulis melakukan perkara seperti kebanyakan ibu baharu: mencuba setiap petua tradisional yang disyorkan.
Ramuan herba tradisional Cina, Yin Zhi Huang, disyorkan oleh seorang tabib Cina, membantu mengurangkan paras bilirubin dan memendekkan tempoh jaundis.
Pengalaman ini membuka mata penulis kepada peranan perubatan tradisional Cina yang tidak menonjol tetapi penting merentas generasi di Malaysia, bukan sahaja kepada masyarakat Cina malah segenap masyarakat majmuk yang membentuk kepelbagaian bangsa di negara ini.
Dalam era perubatan yang berkembang pesat, Ng berkata perubatan Cina masih mempunyai pengikutnya.
Ng yang mempunyai ijazah dalam bidang farmasi telah melatih lebih 1,000 pengamal di Akademi Perubatan Tradisional Cina KL.
Beliau teruja untuk berkongsi cerita mengenai perubatan Cina dan Barat, namun terhenti seketika apabila ditanya mengenai pengembangan perniagaannya.
“Perniagaan seumpama ini tidak mampan. Terdapat sentuhan peribadi dan tidak boleh berkembang seperti farmasi moden yang lain. Oleh itu, buat masa ini, kami melakukan apa-apa yang diperlukan untuk terus bertahan,” katanya.
Ditanya sama ada anak perempuan beliau akan meneruskan legasi itu dan yakin dengan kemampuannya untuk menguruskan kedai berkenaan, beliau terdiam seketika dan memandang ke arah pintu masuk kedai.
“Dia boleh (melakukannya). Dia perlu membina personalitinya dan memberi peluang kepada orang di sekelilingnya untuk mengenalinya.
“Itu penting kerana kedai kami lebih berasaskan komuniti. Seperti yang saya katakan, perniagaan seperti ini tidak sepenuhnya mampan (kerana persaingan daripada farmasi moden),” katanya.
Sewaktu temu bual berlangsung, pandangan penulis terarah kepada anak perempuan Ng, Min Yi, 37, atau lebih dikenali sebagai Vanessa yang sibuk mengemas barangan di rak sambil menyapa dengan mesra sesiapa sahaja yang masuk ke kedai.
Apa yang menarik perhatian ialah kebolehannya bertutur dalam pelbagai bahasa semasa melayan penduduk tempatan daripada latar belakang yang berbeza dan pelancong yang singgah mencari ubat tradisional.
Ia tampak kecil tetapi jelas mengenai keharmonian pelbagai budaya yang menjadikan kedai itu terus relevan.
Vanessa mula bekerja dengan bapanya pada 2020, ketika dunia dilanda pandemik COVID-19.
Seperti mana perniagaan lain, kedai yang telah beroperasi sejak 1942 itu turut terjejas semasa tempoh tersebut.
Pada masa inilah Kedai Ubat Kien Fatt menjalankan perniagaan secara dalam talian untuk memudahkan pelanggan yang memilih untuk membeli dari rumah atau yang tinggal jauh.
“Selain beroperasi secara fizikal di kedai dan secara maya melalui platform dalam talian, saya juga membuka gerai di pasar malam di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur,” kata Vanessa.
Matlamatnya mudah: memudahkan pelanggan di kawasan tersebut, terutamanya warga emas yang sukar menggunakan platform dalam talian atau mereka yang tinggal jauh dari Jalan Petaling untuk mendapatkan herba dan akar kayu yang mereka perlukan.
“Permintaan terhadap herba tradisional Cina di kedai kami adalah menggalakkan. Ada sesetengah chef datang mencari bahan baharu untuk dicuba dalam masakan mereka. Mereka akan datang ke sini untuk mencari herba yang baik,” katanya. – Bernama