Malaysia Oversight

Kedai Rafizi ‘Kesum’ tawar 7 hidangan harga RM5

By MkiniBM in October 31, 2025 – Reading time 2 minute
Kedai Rafizi 'Kesum' tawar 7 hidangan harga RM5


Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memperkenalkan kedai makan Kesum yang menawarkan tujuh jenis hidangan pada harga hanya RM5, dalam usaha menampilkan satu eksperimen sosial bagi menangani kos sara hidup rakyat.

Antara hidangan yang dijual di bawah harga RM5 ialah nasi lemak ayam, nasi minyak lauk ayam, nasi ayam berempah, lempeng kari ayam, mi goreng dan sayap ayam goreng.

“Kita tumpu kepada beberapa menu yang selalu dibeli oleh orang ramai. Less menu, less cost to run dan yang selalu dimakan tak kira sarapan, tengah hari atau malam,” katanya kepada Malaysiakini.

Rafizi menjelaskan pendekatan itu membolehkan kos operasi diturunkan tanpa menjejaskan kualiti makanan yang menjadi pilihan harian rakyat Malaysia.

86d7f63955d0c7c9687ef9f1d530a174

Kedai makan Kesum — akronim bagi “kenyang, sedap dan murah” — akan dibuka pada 8 November di Pandan Indah, dalam kawasan parlimennya.

Sebelum ini, bekas menteri ekonomi itu mengumumkan pelancaran dua inisiatif serentak: Kesum untuk makanan panas dan Fleximart, sebuah kedai serbaneka yang menawarkan barangan runcit di bawah harga RM5.

Fleximart dijadual beroperasi lebih awal pada 1 November di Seksyen 7, Shah Alam.

Barangan runcit bawah RM5 di Fleximart

Menurut Rafizi, Fleximart menawarkan produk runcit seharian seperti di kedai serbaneka lain tetapi dengan harga lebih rendah berdasarkan kategori SKU (stock keeping unit).

“Barang-barang biasa seperti yang ada di convenience store lain (Speedmart, KK Mart, 7-Eleven, Family Mart) – harga mengikut SKU dan diletakkan dalam kategori harga yang lebih rendah dari sebahagian kedai serbaneka lain,” katanya.

Antara produk utama di Fleximart ialah kopi dan aiskrim yang setara dengan kualiti jenama popular seperti Zus Coffee dan Mixue, serta makanan mi segera yang boleh ditambah bahan tambahan mengikut cita rasa pelanggan.

b1fe7da05006302cec9b414458c4d88a

Makanan siap masak pula dijual melalui vending machine yang turut disediakan di dalam kedai.

“Ada beberapa barang yang boleh dibeli pada kuantiti yang fleksibel, sebab tu dipanggil Fleximart, contohnya sabun basuh baju (detergent) – pembeli bawa botol sendiri dan beli ikut kuantiti yang padan dengan penggunaan, sanitary pad – pengguna boleh beli satu-satu.

“Kedua-dua ini boleh dibeli dari vending machine yang disediakan,” katanya.

Harga ikut kos sebenar

Rafizi turut menjelaskan penentuan harga bagi semua produk di Kesum dan Fleximart dibuat melalui formula telus yang mengambil kira pelbagai komponen kos.

“Pihak kami menentukan harga jualan berdasarkan kos bahan mentah; kos barang runcit daripada pembekal; kos tidak langsung seperti sewa, gaji pekerja, utiliti dan kos perkongsian pra-keuntungan untuk dibayar kepada penyumbang modal.

“Banding dengan harga kedai-kedai lain, tentukan margin agar harga sekitar yang termurah di pasaran,” tambahnya lagi.

Melalui dua inisiatif ini, Rafizi berharap model tersebut dapat menjadi contoh bagaimana pendekatan inovatif dan kecekapan pengurusan boleh menurunkan harga makanan serta barangan asas — tanpa bergantung kepada subsidi .



Source link