Malaysia Oversight

Kedah akan kawal penjualan vape sebelum putuskan larangan

By MkiniBM in April 30, 2025 – Reading time 2 minute
Kedah akan kawal penjualan vape sebelum putuskan larangan


Kedah akan melaksanakan kaedah kawalan penjualan rokok elektronik atau sebelum membuat sebarang keputusan berhubung larangan penjualan produk itu.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Md Nor berkata negeri tidak akan terburu-buru dalam membuat keputusan untuk mengharamkan penjualan produk berkenaan memandangkan lesen telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Terengganu telah mula pada 2016 lagi proses untuk melarang penjualan di Terengganu… di Kedah, PBT telah keluarkan lesen untuk premis penjualan sebelum ini, jadi bila lesen dah ada mereka berhak beroperasi, kita tak boleh buat keputusan hari ini, nanti mereka saman kita pula,” katanya pada sidang media di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Tempatan dan Kesihatan Kedah Mansor Zakaria telah diminta membentangkan kertas cadangan berhubung langkah kawalan itu pada mesyuarat Exco Negeri akan datang.

Muhammad juga berkata langkah kawalan akan dilaksana sehinggalah lesen-lesen premis penjualan vape tamat dan selepas itu, baharulah keputusan mengenai penjualan produk berkenaan dibuat.

Mansor pula berkata kaedah kawalan yang dicadangkan adalah sama seperti penjualan rokok ketika ini iaitu produk tersebut tidak dibenarkan dijual kepada remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun selain tidak boleh diiklankan.

“Sekarang ini, kedai vape menggunakan papan iklan bagi mempromosi produk itu di premis mereka, itu nanti tidak akan dibenarkan.

“Selain itu, produk tersebut mesti dijual di premis tertutup seperti kedai serbaneka,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan negeri mempunyai ruang daripada sudut undang-undang untuk menguatkuasakan larangan penjualan vape.

– Bernama



Source link