Malaysia Oversight

Kecoh graduan kesal UMS tunda konvo gara-gara PRN Sabah

By MkiniBM in October 18, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencetuskan kemarahan ramai graduan apabila menangguhkan majlis konvokesyen ke-27 yang dijadualkan hujung November ini — susulan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Universiti itu pada satu kenyataan di laman Facebook rasminya semalam, memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyemak semula dan menyelaras tarikh baru yang sesuai bagi penganjuran majlis konvokesyen tersebut, yang sepatutnya berlangsung selama empat hari bermula 29 November — tarikh sama dengan hari pengundian PRN Sabah.

Menurut UMS, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada warga universiti, graduan dan orang awam menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Namun, penjelasan itu gagal meredakan kemarahan bakal graduan yang membanjiri ruangan komen hantaran berkenaan untuk meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan saat akhir tersebut.

Ada yang mempersoalkan mengapa pihak universiti tidak menjangka kemungkinan tarikh konvokesyen bertembung dengan tarikh pilihan raya manakala yang lain mengadu kerugian besar akibat pembatalan mendadak itu — termasuk tiket penerbangan dan tempahan hotel yang tidak boleh dibayar balik.

Seorang pengguna dari Semenanjung berkata dia telah membelanjakan hampir RM5,000 bagi penerbangan dan penginapan, sambil menyoal sama ada pihak universiti akan memberi pampasan terhadap kerugian tersebut atau tidak.

Seorang lagi berkongsi bahawa 27 ahli keluarganya sudah membeli tiket penerbangan dan membuat bayaran pendahuluan untuk penginapan serta pengangkutan, sambil menegaskan bahawa menukar semula jadual untuk kumpulan sebesar itu akan menelan kos yang amat tinggi.

Dalam rayuan kepada pihak universiti, ramai siswa menekankan bahawa mereka bukan dari keluarga berpendapatan tinggi, malah beberapa pelajar dari Sabah memaklumkan ibu bapa mereka telah mengambil cuti kerja semata-mata untuk hadir ke majlis konvokesyen dan menyaksikan mereka menerima ijazah.

Kenyataan UMS berhubung penangguhan itu turut dikeluarkan hanya beberapa jam selepas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa majlis konvokesyen berkenaan tidak akan menjejaskan proses pengundian PRN Sabah.

Zahid, yang juga pengerusi berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengambil kira semua faktor sebelum menetapkan tarikh pilihan raya, termasuk memastikan dewan universiti tidak digunakan sebagai pusat mengundi serta mengambil kira peperiksaan SPM yang akan bermula 3 November.

“Ibu bapa yang hadir ke konvokesyen bukan hanya dari Sabah. Pelajar UMS datang dari seluruh Malaysia, jadi saya tidak menjangka sebarang masalah akan timbul daripada hal ini,” kata Zahid seperti dipetik Bernama ketika mengulas kebimbangan terhadap peratusan keluar mengundi.

SPR menetapkan 15 November sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 25 November.

Tempoh berkempen pula ditetapkan selama 14 hari, bermula dari hari penamaan calon hingga 11.59 malam, 28 November.



Source link