PARLIMEN | Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) mengkritik agensi kerajaan yang didakwa menganggap unit itu sebagai agensi serba guna, atau “catch-all”, dan berkata ia dibebankan dengan tanggungjawab di luar mandatnya secara tidak adil.
Pengerusi jawatankuasa pasukan petugas khas (JPPK) Mitra P Prabakaran berkata terdapat banyak insiden di mana individu dan organisasi dirujuk kepada Mitra untuk perkara di luar bidang kuasanya, termasuk isu pengecualian cukai dan pembangunan sukan.
“Apabila berkaitan dengan sukan, mereka kata Mitra, kebajikan – Mitra, usahawan – Mitra,” katanya yang juga ahli Parlimen Batu semasa perbahasan Rancangan Malaysia Ke13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
“Semua inisiatif di kerajaan, mereka tunjuk jari ke Mitra. Mitra boleh tolong semua, tapi bagi peruntukan RM5 bilion. Bagi RM5 bilion saya selesaikan semua masalah komuniti india, tapi itu bukan realiti (menerima dana RM5 bilion),” katanya lagi.
Menegaskan bahawa kerajaan berkhidmat kepada segenap rakyat manakala Mitra memainkan peranan membantu transformasi dalam masyarakat India, dia berkata sukar jika setiap agensi kerajaan merujuk Mitra bagi semua isu berkaitan masyarakat India.
Prabakaran juga mendakwa isu kesinambungan kepimpinan menjadi punca di sebalik persepsi Mitra gagal memberikan impak yang ketara.
“Apabila saya mengambil alih kepimpinan Mitra, saya pastikan hala tuju Mitra perlu berkait rapat dengan dasar-dasar kerajaan.
“Bukan lagi ikut suka hati individu yang memimpin Mitra, boleh buat program itu dan ini. Tukar pimpinan tukar program, maka tak akan ada transformasi,” katanya lagi.

Mitra sebelum ini dinamakan Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) sebelum penjenamaan semula pada 2018.
Mengulas mengenai pengumuman Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengenai 16 program yang diluluskan untuk masyarakat India, Prabakaran berkata Mitra masih menunggu butiran lanjut dan arahan lanjut.
“Kami sedang menunggu arahan lanjut daripada PMO tentang cara melaksanakan program tersebut dan apa sebenarnya yang diperlukan. Pada fasa awal, Mitra telah mengemukakan 45 program (untuk pertimbangan PMO), jadi terima kasih kepada perdana menteri kerana meluluskan 16 daripadanya.
“Saya sangat berharap perkara dapat dipercepatkan (kerana) saya sendiri semakin tidak sabar untuk melihat apa hala tuju seterusnya daripada perdana menteri,” katanya.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan pengumuman PMO berhubung kelulusan 16 program berimpak tinggi menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding kejelasan – termasuk dalam kalangan pegawai Mitra sendiri.
Sumber dalaman Mitra menyuarakan kebimbangan mengenai “pengumuman mengejut” daripada PMO, mengingatkan ia berisiko menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kredibiliti dan peranan agensi itu, terutama kerana ia telah menyokong 45 program dengan anggaran dana sebanyak RM40 juta.
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Alyaa Alhadjri, dan B Nantha Kumar.