Malaysia Oversight

Kecederaan belakang sekat langkah Rybakina ke final Terbuka Jepun

By Utusan in October 25, 2025 – Reading time 2 minute
Kecederaan belakang sekat langkah Rybakina ke final Terbuka Jepun


TOKYO: Hasrat Elena Rybakina untuk menambah satu lagi kejuaraan musim ini musnah apabila pemain Kazakhstan itu menarik diri daripada separuh akhir Terbuka Jepun di Tokyo akibat kecederaan belakang, hari ini.

Penarikan diri pilihan kedua itu secara automatik melayakkan Linda Noskova dari Republik Czech ke final esok, yang mana dia akan menentang Belinda Bencic.

“Saya sangat kesal kerana tidak dapat bermain hari ini. Saya mengalami masalah belakang sepanjang minggu dan tidak dapat beraksi 100 peratus. 

“Saya kecewa kerana penyokong tidak dapat menyaksikan saya hari ini, tetapi harap dapat kembali tahun depan,” kata Rybakina.

Rybakina sebelum ini mengesahkan slot ke WTA Akhir di Arab Saudi bulan depan selepas menewaskan Victoria Mboko dalam aksi suku akhir semalam.

Pemain No.7 dunia itu kini menyertai kelompok lapan terbaik musim ini hasil prestasi konsisten, termasuk memenangi Terbuka Ningbo di minggu lalu.

Kecederaan yang menimpanya bagaimanapun menimbulkan tanda tanya terhadap tahap kecergasan menjelang kempen penutup musim itu.

Bagaimanapun, Rybakina tetap optimis untuk kembali cergas sepenuhnya, sambil menegaskan fokusnya kini terarah kepada pemulihan sebelum beraksi di WTA Akhir pada November ini. – AGENSI





Source link