Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim hari ini menegur Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai syarat bagi menjalankan tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.
Zaid berkata kenyataan Anwar bahawa “tiada yang lebih berani” daripada Azam Baki dalam menjalankan tugas adalah tidak tepat.
Katanya, keberanian bukanlah ukuran utama untuk memegang jawatan itu.
“Perkataan yang betul ialah ‘sesuai; selesa atau boleh diterima’. Pekerjaan itu tidak memerlukan keberanian,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Zaid turut membandingkan jawatan Azam dengan ketua FBI era 1960-an, Herbert Hoover, yang mempunyai pengaruh besar dan boleh menimbulkan ketakutan, bukan sahaja kepada rakyat biasa tetapi juga kepada pemimpin politik.
Katanya, SPRM mempunyai kuasa besar seperti membekukan akaun selama 90 hari tanpa perintah mahkamah, menahan suspek, dan memaksa pengisytiharan aset tanpa mendedahkan kesalahan yang disiasat.

“Azam Baki setanding dengan Herbert Hoover dari FBI pada tahun 60-an. Ketua FBI yang terkenal itu mampu menimbulkan ketakutan kepada rakyat dan juga pemimpin politik tertinggi.
“Azam mempunyai kuasa yang besar untuk membekukan akaun selama 90 hari. Itu masa yang lama. Ia boleh memusnahkan perniagaan dan keluarga tanpa sebarang perintah mahkamah, reman suspek dengan sedikit kesukaran, dan memaksa pengisytiharan aset tanpa memberitahu anda kesalahan yang mereka siasat,” tulis Zaid lagi.
Secara sinis Zaid berkata, jawatan itu “empuk dan lumayan” serta bergantung sepenuhnya kepada penilaian perdana menteri berhubung keutamaan kes yang diambil.

Oleh itu, Zaid menasihati Anwar supaya tidak menganggap keberanian sebagai kriteria utama dalam memilih ketua SPRM.
Anwar sebelum ini mempertahankan pelantikan semula Azam Baki untuk penggal ketiga, walaupun menerima kritikan termasuk daripada anaknya sendiri, Nurul Izzah.
Mempertahankan pelantikan Azam, Anwar menyifatkan ketua pesuruhjaya SPRM menunjukkan “keberanian luar biasa” dalam membanteras rasuah berprofil tinggi.