Malaysia Oversight

Kebenaran rasmi untuk pensyarah bersuara satu lonjakan besar

By MkiniBM in August 6, 2025 – Reading time 3 minute
Kebenaran rasmi untuk pensyarah bersuara satu lonjakan besar


ULASAN | Terima kasih Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir. Selepas sekian lama, akhirnya para pensyarah universiti – yang dianggap sebagai sarjana- diberikan ruang dan kebebasan secara rasmi oleh untuk menyuarakan pandangan dan kritikan yang adil. 

Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj), atau Akta 605, telah memberikan kebenaran secara am kepada kakitangan akademik universiti awam untuk membuat pernyataan awam, tertakluk kepada garis panduan yang disediakan. 

Ini merupakan satu lonjakan dan pencapaian besar oleh Madani di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Ibrahim, yang sejak awal menyatakan kesediaannya untuk ditegur dan dikritik, selagi mana tanggungjawab tersebut dilaksanakan secara berhemah dan tertib. 

Sambutan dan tindakan oleh Zambry terhadap hasrat benar-benar memulihkan semula harapan serta membolehan kami menghela nafas lega. 

Benar, sememangnya sebelum ini pun para akademia di universiti bebas untuk bersuara menegur , melontarkan pandangan yang berbeza serta menyampaikan idea alternatif, tetapi ia hanya atas ihsan para penguasa, baik di peringkat pusat mahupun di peringkat universiti untuk tidak mengambil sebarang tindakan. 

Tiada jaminan secara bertulis dan secara perundangan. Kata-kata menteri hatta perdana menteri semata-mata tidak boleh menjadi undang-undang. Ia tidak boleh menjadi pengikat kepada keputusan yang boleh diambil menurut lunas undang-undang atau peraturan penjawat awam. 

Namun, dengan kebenaran yang diberikan secara rasmi bermula Ogos ini, kini semua pensyarah universiti dapat berkarya dengan lebih bebas berdasarkan pengetahuan, penyelidikan dan kepakaran masing-masing. 

Hal ini sangat tinggi nilainya kepada sejumlah ahli akademik yang sering mengeluarkan pandangan terhadap dasar kerajaan yang difikirkan mempunyai kelemahan atau ruang untuk ditambahb aik, terutama mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan, sains politik, sejarah dan agama. Keizinan menyuarakan pandangan berdasarkan kepakaran tersebut mengiktiraf peranan para ahli akademik yang sememangnya mempunyai peranan besar dalam pembangunan negara dan pembinaan bangsa. 

Keizinan ini turut menjadi bukti perbezaan peranan para ahli akademik yang dilihat oleh masyarakat umum sebagai kumpulan sarjana, berbanding penjawat awam dari seluruh sektor. Pernyataan ini sama sekali tidak merendahkan mana-mana kumpulan perkhidmatan, tetapi hanya menjelaskan kedudukan dan peranan ahli akademik dalam menentukan hala tuju negara. 

Dari segi gaji atau pendapatan, ahli akademik tidaklah lebih ‘lebat’ daripada pegawai perubatan atau pergigian dalam sektor kerajaan, ataupun tidaklah lebih berkuasa daripada pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), tetapi sudut pandangnya lebih diterima pakai dalam pembangunan dasar kerajaan atau perancangan masa hadapan. 

Di zaman ini, para akademia memang seharusnya berfungsi sebagai ejen perubahan masyarakat dan penyampai suara rakyat. Mereka tidak boleh menjadi penyambung lidah kerajaan semata-mata, tetapi harus berani untuk menyanggah dengan beradab dan mampu pula untuk menyatakan alternatif kepada sanggahan tersebut. 

Puluhan tahun dahulu sebelum kita merdeka, peranan ini dimainkan oleh golongan guru. Merekalah sarjana ketika itu. Di zaman belum ada universiti, SITC (Maktab Perguruan Sultan Idris) misalnya memainkan peranan kesarjanaan menggerakkan perubahan dan menyampaikan kritikan secara halus terhadap penjajah. Merekalah para guru yang kemudian bertebaran di Nusantara bagi menyampaikan idea kebangkitan, kebebasan dan kemajuan. 

Hari ini, peranan tersebut diambil alih oleh ahli akademik di universiti. Guru sudah disibukkan dengan macam-macam hal. Usah diganggu lagi mereka. 

Kepada Zambry, Ini adalah inisiatif tanpa implikasi kewangan yang menggembirakan kami para ahli akademik di universiti. YB, ada banyak lagi yang kami ingin mohon YB tinjau dan jenguk di universiti, secara jujur dan telus. Kami tidak meminta-minta wang ringgit atau kemudahan yang pelik-pelik, sekadar ingin menyuarakan rasa hati terhadap isu berbangkit yang kadang kala tidak dapat dinyatakan secara terbuka. 

Kami ini ibarat timun, digolek luka, menggolek pun luka. 

Terima kasih sekali lagi kepada Zambry. Insya-Allah amanah ini akan kami pikul dengan penuh tanggungjawab dan rendah diri. Semoga dapat terus mendengar, meneliti, menyantuni dan memenuhi. 


SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN pensyarah kanan Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Source link