PARLIMEN | Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof hari ini memberi jaminan kebajikan rakyat akan terus terpelihara dan tidak terkesan secara langsung jika berlaku perubahan mendadak terhadap bil elektrik akibat ketidakstabilan harga bahan api di pasaran.
Katanya, hal itu kerana Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) telah menetapkan nilai ambang yang memerlukan kelulusan menteri bagi kelulusan kadar pelarasan automatik kos bahan api (AFA) sekiranya berlaku peningkatan melebihi 10 peratus terhadap caj tenaga asas dan unjuran kos tenaga pada bulan yang akan datang berbading bulan semasa.
“Ini merupakan langkah proaktif kerajaan bagi terus melindungi pengguna elektrik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Fadillah menjawab soalan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu bagaimana struktur baru bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memastikan keadilan kos, kecekapan penggunaan tenaga dan mengekalkan subsidi tertumpu untuk golongan B40 dan M40.
Fadillah yang juga Menteri Petra berkata jemaah menteri pada 11 Jun meluluskan pelaksanaan mekanisme AFA bagi menggantikan mekanisme pelepasan kos tidak berimbang (ICPT) dengan pelarasan kos bahan api akan dilakukan setiap bulan berbanding enam bulan.
Dia berkata kerajaan kini giat menggalakkan pengguna untuk beralih kepada penggunaan sistem cekap tenaga dan tenaga boleh diperbaharu bagi memastikan kadar penggunaan tenaga negara dikurangkan.
Bagi mengurangkan impak bil elektrik selain menggalakkan amalan kecekapan tenaga, Fadillah berkata, kerajaan memperkenalkan insentif cekap tenaga yang diberikan secara terus kepada pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kilowatt jam (kWj) dan ke bawah, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menggunakan elektrik 200 kWj dan ke bawah.
“Insentif ini bertujuan menggalakkan golongan sasar terbabit lebih bijak pengurusan tenaga dan memastikan tiada keperluan bagi PMKS untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan disebabkan kadar tarif baru ini.
“Tambahan lagi, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 600 kWj dan ke bawah juga akan dikecualikan daripada pembayaran caj peruncitan.
“Ini merupakan bantuan daripada kerajaan kepada golongan tersebut bagi memastikan mereka terus dilindungi dan tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual baru ini,” katanya.
Fadillah berkata melalui insentif yang diberikan bersama-sama dengan jadual tarif elektrik baru, kerajaan menjangkakan perubahan yang minimum kepada bil elektrik pengguna domestik dan juga PMKS dengan 85 peratus pengguna domestik tidak akan terkesan dan terus dilindungi selaras dengan hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
– Bernama