Pemuda Bersatu menggesa dua menteri segera meletakkan jawatan, atas dakwaan gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menangani kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang telah mengundang kemarahan ramai.
Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham mendakwa himpunan di Sabah semalam, iaitu negeri kelahiran Zara, mencerminkan terhakisnya kepercayaan awam terhadap kerajaan.
“Biarpun Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) telah memberi jaminan keadilan akan ditegakkan, namun himpunan yang berlaku memperlihatkan kesedaran dan kebangkitan rakyat khususnya kaum ibu yang tidak lagi yakin dengan sistem pendidikan, penguatkuasaan undang-undang dan keadilan.
“Ternyata, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dan Menteri Dalam Negeri (Saifuddin Nasution Ismail) gagal untuk menangani kes ini dengan baik,” kata Adun Gombak Setia itu dalam kenyataan hari ini.
Semalam, ribuan berhimpun di tiga bandar di Sabah – Tawau, Sandakan dan Lahad Datu – bagi menuntut keadilan ditegakkan buat Zara.

Ia berlangsung pada masa sama Pejabat Peguam Negara (AGC) mengarahkan polis untuk menggali semula kubur Zara untuk bedah siasat, selepas meneliti laporan siasatan awal yang diserahkan oleh polis.
Hilman mendakwa “kecelaruan dan ketempangan” jelas dilihat dalam pengurusan kes dan siasatan, dan membangkitkan kegagalan kerajaan untuk menjelaskan sebab bedah siasat tidak dibuat pada mulanya.
“Bukankah ini merupakan prosedur atau SOP asas?” soalnya.
Zara ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang bawah asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia sehari kemudian ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Keluarganya percaya perbuatan buli mungkin menjadi punca kejadian.
Dalam pada itu, Hilman menegaskan satu inkues khas perlu segera dijalankan untuk menyiasat kematian Zara.

Sementara itu, Pejuang berkata penggalian semula kubur Zara adalah langkah yang perlu demi mendapatkan kebenaran.
Ketua penerangannya, Rafique Rashid Ali berkata “siasatan menyeluruh memenuhi setiap aspek” juga perlu dilakukan.
“Pejuang menggesa agar polis meneliti semula segala arahan daripada AGC dan melaksanakan segala aspek siasatan dengan telus dan ikhlas.
“Undang-undang negara ini terpakai dan harus dikenakan secara adil ke atas semua pihak tanpa mengira darjat, kebesaran, pangkat, harta mahupun nama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafique juga menegaskan sekolah harus menjadi tempat selamat buat pelajar dan masyarakat secara keseluruhan perlu memastikannya.
Dia juga menyuarakan sokongan untuk kerjasama rentas parti dengan pertubuhan kebajikan dan masyarakat keseluruhan bagi memastikan kes tersebut “tidak hanya disapu ke bawah karpet dan dilupakan”.
Dia turut memuji kehadiran ramai orang dalam himpunan semalam.
“Pejuang mengucapkan tahniah pada lautan manusia yang turun di pelusuk-pelusuk Sabah demi solidariti bagi isu ini membuktikan rakyat mahu keadilan dilihat dilakukan,” katanya lagi.

Pengerusi DAP Sabah Phoong Jin Zhe turut menyuarakan solidariti terhadap semua yang menyertai himpunan semalam bagi menunjukkan sokongan kepada keluarga Zara.
“Saya berdiri teguh bersama rakyat Sabah — khususnya mereka yang dengan berani berhimpun dan berdemonstrasi di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu, dan banyak lagi tempat lain — untuk menunjukkan sokongan dan solidariti terhadap keluarga Arwah Zara Qairina,” katanya yang juga Adun Luyang.
Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah itu juga menggesa semua pihak agar memberi kerjasama penuh agar siasatan dapat dibuat berdasarkan fakta.
“Diharapkan hasil siasatan diumumkan dalam kadar segera bagi mengelakkan spekulasi yang tidak benar.
“DAP Sabah berdiri teguh bersama keluarga Zara Qairina, rakyat Sabah dan seluruh rakyat Malaysia dalam memastikan kebenaran dan keadilan dijunjung dan ditegakkan,” katanya lagi.