Malaysia Oversight

KDNK diunjur 4.5 hingga 5.5 peratus dalam tempoh RMK13

By MkiniBM in July 31, 2025 – Reading time 2 minute
KDNK diunjur 4.5 hingga 5.5 peratus dalam tempoh RMK13


Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara disasarkan antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dari 2026 hingga 2030, diterajui permintaan domestik, terutamanya penggunaan dan pelaburan swasta.

Menurut dokumen utama RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ dan dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi hari ini, pertumbuhan KDNK negara turut disokong oleh sektor luaran yang kekal positif.

Katanya sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan kekal sebagai sumber utama pertumbuhan disumbangkan oleh peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai.

Ia akan turut didorong oleh pelaksanaan dasar dan strategi, terutamanya Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang diperkenalkan dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaan Ekonomi MADANI.

“Prospek ekonomi Malaysia akan dipengaruhi oleh perkembangan persekitaran global serta pelaksanaan dasar dan strategi sosioekonomi dalam tempoh RMK13,” katanya.

Ketidaktentuan dasar perdagangan Amerika Syarikat dan langkah timbal balik ekonomi lain dijangka memberi kesan kepada Malaysia dalam tempoh separuh pertama RMK13.

Jangkaan pertumbuhan KDNK negara akan membolehkan Malaysia mencapai sasaran PNK per kapita sebanyak RM77,200 pada 2030 dan melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi.

Sebanyak 10 sasaran ekonomi makro ditetapkan dalam usaha untuk melakar semula pembangunan dengan melonjakkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memantapkan tatakelola baik dalam tempoh RMK13.

Sasaran ekonomi tersebut termasuk kadar pertumbuhan tahunan purata pelaburan swasta benar sebanyak 6.0 peratus dalam tempoh lima tahun RMK13, peratusan defisit fiskal kepada KDNK di bawah 3.0 peratus pada 2030, kadar pertumbuhan tahunan purata eksport kasar (5.8 peratus) dan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK (40 peratus).

Antara sasaran lain ialah kadar pertumbuhan tahunan purata pelaburan awam benar (3.6 peratus), kadar purata inflasi (2.0-3.0 peratus), peratusan akaun semasa imbangan pembayaran kepada pendapatan negara kasar (2.2 peratus) dan kadar pertumbuhan tahunan purata Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (MyWI) pada 1.6 peratus.

Menurut dokumen itu, usaha ini dijangka meningkatkan pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 6.0 peratus setahun dengan nilai purata sebanyak RM417.9 bilion setahun yang kekal sebagai pemacu utama pelaburan dalam tempoh RMK13.

Pelaburan awam yang terdiri daripada peruntukan pembangunan Persekutuan, negeri, tempatan, badan berkanun dan syarikat awam bukan kewangan (SABK) dijangka meningkat sebanyak 3.6 peratus setahun atau purata RM112.9 bilion setahun dalam tempoh RMK13.

Sebanyak RM430 bilion akan diperuntukkan dalam tempoh ini untuk membiayai pelaksanaan program dan projek pembangunan Kerajaan Persekutuan.

Projek yang akan dilaksanakan termasuk projek infrastruktur, infostruktur, pengangkutan awam, pembinaan sekolah, hospital dan perumahan mampu milik serta tebatan banjir dan program pembangunan kapasiti dalam tempoh RMK13.

Pelaburan untuk pembangunan negara akan turut disokong melalui pelaksanaan projek oleh syarikat berkaitan kerajaan, termasuk Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) di bawah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM120 bilion.

Selain itu, pelaksanaan projek pembangunan di bawah kerjasama awam swasta (PPP) akan dipertingkatkan dengan turut melibatkan pembiayaan sektor swasta yang diunjurkan sebanyak RM61 bilion dalam tempoh RMK13.

– Bernama



Source link