Malaysia Oversight

KDM tegas bertanding solo, nafi temui Jeffrey

By MkiniBM in October 21, 2025 – Reading time 2 minute
KDM tegas bertanding solo, nafi temui Jeffrey


Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menegaskan mereka akan bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ke-17 ketika bahang semakin hangat di Sabah.

Parti tersebut turut menafikan mereka ada membincangkan rancangan bekerjasama dengan parti lain, termasuk Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Presiden KDM, Wetrom Bahanda, berkata dia tidak bertemu dengan Presiden Star, Jeffrey Kitingan, bagi membincangkan kemungkinan kedua-dua parti membentuk pakatan Gerakan Bersatu Sabah (GBS).

“Tidak benar (KDM akan menyertai GBS). Saya tidak pernah membincangkan perkara ini dengan sesiapa termasuk Jeffrey.

“KDM kekal dengan keputusan sebelum ini untuk bertanding secara solo pada PRN akan datang. Keputusan ini mencerminkan kehendak akar umbi yang mahu KDM berdiri sendiri,” katanya.

Semalam, Jeffrey berkata dia mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin parti tempatan yang berminat untuk menyertai GBS. Ia merupakan blok baru politik yang ditubuhkan oleh Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Star.

Jeffrey juga berkata dia telah berbincang dengan Wetrom mengenai kemungkinan KDM menyertai GBS tetapi ragu-ragu memandangkan pengumuman mereka bahawa parti tersebut akan bertanding di 38 kerusi.

“Saya tidak pasti sama ada mereka akan menjadi sebahagian daripada GBS. Saya perhatikan mereka telah mengumumkan begitu ramai calon, dan saya mungkin tidak dapat bekerja dengannya.

“Namun, kami telah mengadakan perbincangan positif, namun ia masih belum dimuktamadkan,” kata Jeffrey kepada Malaysiakini.

Jika KDM menyertai blok tersebut, katanya, rundingan kerusi perlu dikaji semula bagi mengelak pertindihan dengan parti komponen lain.

KDM – yang diketuai oleh Priscella Peter selaku pemangku presiden berikutan penyandang jawatan tersebut, Peter Anthony, kini dipenjara –kekal sebagai kuasa yang semakin meningkat selepas menawan kerusi parlimen Kota Marudu melalui Wetrom pada 2022.

KDM juga memenangi dua kerusi DUN Sabah iaitu Melalap dan Bandau melalui tindakan Peter dan Wetrom meninggalkan parti Warisan dan Bersatu.

GBS dijangka kekal sebagai pakatan ad hoc buat masa ini dengan Star dan SAPP sebagai komponen terasnya.

Kedua-dua parti terbabit berpisah dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada awal bulan ini selepas Star dan SAPP memutuskan untuk bertanding di bawah logo mereka sendiri.

Mereka juga menentang keputusan GRS untuk memberikan ruang yang luas kepada PH dalam rundingan pembahagian kerusi.

GBS merancang untuk bertanding di semua 73 kerusi DUN Sabah menjadikan pertembungan dengan bekas sekutu GRS tidak dapat dielakkan.

Sabah akan mengundi pada 29 Nov, dengan pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov.

[Baca berita asal]



Source link