Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyarankan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) agar mencontohi pendekatan Jawatankuasa Road to Gold (RTG) dalam pengurusan penajaan dan ganjaran kepada atlet bagi mengelakkan isu yang menimpa jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou daripada berulang.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata RTG telah mengambil langkah proaktif dengan memastikan semua ganjaran yang dijanjikan oleh penaja kepada atlet dilakukan dalam bentuk kontrak rasmi sebelum temasya sukan bermula.
“Semasa atlet kita ke Sukan Olimpik Paris, ada banyak syarikat yang telah memberikan tawaran RM1 juta dan pelbagai ganjaran kalau mereka berjaya meraih pingat emas di temasya itu.
“Apa yang RTG buat adalah mendapatkan semua penaja ini untuk menandatangani kontrak dan saya lihat ada keperluan untuk MPM mengikut (langkah sama),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke-20 di Bangi hari ini.
Media sebelum ini melaporkan atlet berkenaan mendakwa MPM sebagai ‘penipu’ menerusi media sosial kerana masih belum melunaskan insentif wang tunai RM60,000 yang dijanjikan kepadanya selepas memenangi pingat emas Sukan Paralimpik 2024.

Keluhan Cheah turut mendapat perhatian Hannah yang turut tidak bersetuju dengan cara MPM sehingga mahu mengenakan tindakan tunjuk sebab terhadap atlet itu.
Sementara itu, Hannah berkata isu membabitkan Cheah tidak sepatutnya dilayan seolah-olah atlet itu telah melakukan kesalahan disiplin, sedangkan pemenang emas Sukan Paralimpik 2024 itu hanya menuntut apa yang dijanjikan.
Beliau turut menegaskan bahawa atlet seperti Cheah telah mengharumkan nama negara dan tidak sewajarnya dikenakan tindakan hanya kerana menyuarakan kekecewaan terhadap kelewatan atau kegagalan pemberian ganjaran yang dijanjikan.
“Saya lihat perkara ini mudah sahaja (untuk diselesaikan). Kita tidak perlu orang tengah. Kalau ada janji, kita tunaikan janji. Kalau tidak dapat tunaikan, kita nyatakan kenapa dan kita perbaiki daripada ini, tidak perlu sampai nak gantung atlet itu,” katanya.
Hannah berkata KBS juga tidak akan menyokong sebarang usaha untuk menggantung atau mengenakan tindakan tatatertib ke atas atlet berkenaan dan tiba masanya untuk memperbaiki sistem tadbir urus sedia ada.
Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin pada Khamis memaklumkan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Cheah kerana kenyataan atlet itu di media sosial berhubung isu janji yang belum dilunaskan telah mencemar reputasi pihaknya serta penaja.
Megat D Shahriman berkata MPM tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan penggantungan terhadap atlet berkenaan daripada menyertai mana-mana temasya besar selepas ini.
– Bernama