PARLIMEN l Kementerian Perpaduan Negara mengesahkan perkara yang sudah diketahui oleh ramai rakyat Malaysia – bahawa kaum, agama dan jantina kekal antara faktor utama yang mengancam keharmonian sosial dan perpaduan negara.
Timbalan menteri Senator K Saraswathy berkata walaupun kementerian menyedari betapa media massa adalah salah satu elemen utama yang menyumbang kepada “defisit sosial,” faktor lain turut menyumbang.
“Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) telah kenal pasti selain dari media sosial, terdapat sembilan lagi elemen yang boleh jejaskan harmoni dan perpaduan dalam masyarakat – etnik, agama, kelas sosial, pendidikan, bahasa, jurang generasi, gender politik atau federalisme, jurang bandar dan luar bandar,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Timbalan menteri itu menambah bahawa IPNas membenarkan kementerian mengukur tahap perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus memudahkan usaha kerajaan untuk mengenal pasti dan melaksanakan “program intervensi” yang sesuai untuk menangani isu berkaitan.
Saraswathy berkata demikian ketika menjawab soalan backbencher Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman), yang mempersoalkan kementerian itu sama ada ia mempunyai mekanisme untuk menilai tahap perpaduan sebenar dalam kalangan rakyat.
Pada Mac, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Che Roslan Che Daud berkata kajian IPNas ketiga akan dilaksanakan oleh Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tambahnya, jabatan itu yakin nilai IPNas mencecah 0.7 tahun ini, susulan kajian pertama pada 2018 mencatatkan markah 0.567, diikuti 0.629 pada 2022.
Mengikut skala pengukuran IPNas, 0.0 hingga 0.24 dikelaskan sebagai lemah, 0.25 hingga 0.49 (rendah), 0.50 hingga 0.74 (sederhana), dan 0.75 hingga 1.00 (tinggi).
[Baca laporan penuh]






