Malaysia Oversight

KATA ADUN | Naikkan segera had umur guna media sosial

By MkiniBM in October 18, 2025 – Reading time 3 minute
KATA ADUN | Naikkan segera had umur guna media sosial


KATA | Insiden tragis yang menimpa mendiang Yap Shing Xuen, seorang pelajar di Bandar Utama, benar-benar meruntun hati rakyat Malaysia. 

Fokus kes ini bukan sahaja tentang kehilangan nyawa seorang pelajar yang ada potensi, malah juga tertumpu kepada persoalan apakah yang menyebabkan kita secara kolektif gagal dalam mencegah mendiang adik daripada diseksa dengan 200 tikaman pisau.

Pelbagai saranan telah dikeluarkan oleh semua pihak namun yang paling signifikan ketika ini adalah langkah-langkah yang telah dicadangkan oleh Persekutuan dalam usaha meningkatkan keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak, khususnya di sekolah, seperti diumumkan Perdana Menteri Ibrahim serta Menteri Komunikasi Fadzil semalam.

Antara cadangan tersebut adalah menempatkan anggota polis di sekolah-sekolah seluruh negara, memastikan pemeriksaan mengejut (spot check) dijalankan secara rawak di sekolah dan menaikkan had umur pengguna media sosial daripada 13 kepada 16 tahun.

Saya lega dengan beberapa cadangan yang telah dikemukakan kerana ini amat bertepatan dengan masa, sebagai langkah drastik untuk menangani isu keselamatan murid yang semakin membimbangkan. 

Langkah drastik perlu dilaksanakan pada saat ini juga. Sekiranya kita masih mahu memulakan dengan soal selidik, kajian, garis panduan ataupun dasar, ia semestinya akan menimbulkan rasa gusar semua pihak.

Penggunaan media sosial

Sebagai Exco Kesihatan Awam , cadangan yang paling menarik perhatian saya adalah untuk menaikkan had umur pengguna media sosial kepada 16 tahun dan dikuatkuasakan melalui pendaftaran berdasarkan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID. Maknanya, kawalan akan menjadi lebih ketat dan tidak mudah untuk remaja berumur 16 tahun ke bawah memberikan maklumat palsu untuk menggunakan media sosial. 

Biarpun begitu, saya ingin sarankan Persekutuan memperkasakan sistem ini dengan ciri keselamatan lebih ketat, seperti penggunaaan kata laluan sekali guna (OTP) dan sebagainya.

Larangan penggunaan media sosial terhadap remaja berumur 16 tahun ke bawah amat mustahak kerana kita kini berhadapan dengan pelbagai jenis jenayah yang lahir daripada kandungan tidak sesuai di media sosial. Kandungan-kandungan ini kerap menggalakkan kes buli, keganasan dan kadang kala mengakibatkan kematian. 

Pada masa sama, dalam pelbagai perbincangan mahupun mesyuarat yang pernah saya hadiri, penggunaan media sosial sentiasa menjadi antara punca isu kesihatan mental dengan pelbagai jenis kandungan yang berunsur negatif.

Negara lain seperti Australia, misalnya, telah sedar lebih awal tentang bahaya penyalahgunaan media sosial apabila meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan Keselamatan Dalam Talian (Had Umur Minimum Media Sosial) 2024, yang mengehadkan akses media sosial bagi individu berusia 16 tahun ke bawah. 

Malah negara jiran kita, Singapura juga telah mengemukakan cadangan menggubal had umur untuk akses media sosial bagi melindungi pengguna muda dan sedang berhubung rapat dengan Australia untuk mengikut langkah negara tersebut.

Oleh itu, saya menggesa agar cadangan ini dilaksanakan segera supaya kita dapat seawal mungkin membendung isu-isu sosial lain yang mungkin timbul.

Kitaran cari kambing hitam

Pada ketika ini juga, sedang giat merangka modul Selangor Mental Sehat (Sehat) yang diperkukuh dengan merangkumi elemen pencegahan buli, pendidikan emosi serta intervensi awal kesihatan mental khusus untuk murid sekolah. Saya menaruh harapan tinggi untuk memperkukuhkan lagi langkah-langkah intervensi pencegahan dengan kerjasama daripada kerajaan negeri dan Persekutuan.

Semestinya, saya juga amat menyokong usaha-usaha lain yang telah dicadangkan. Pada saya, apa yang penting ketika ini adalah memastikan fokus semua pihak tertumpu kepada bagaimana kita mahu memastikan cadangan-cadangan ini berjaya dilaksanakan dan sekiranya terdapat komen dan maklum balas, ianya perlulah konstruktif dan membina.

Jika tidak, kita hanya akan terperangkap dalam kitaran kata-mengata dan mengutuk serta mencari kambing hitam untuk dipersalahkan. 

Namun, adakah ia benar-benar bermakna dan membantu dalam menyelesaikan isu-isu kritikal yang kita hadapi kini? Jadi kita harus bersetuju ini merupakan tanggungjawab kita untuk bersama-sama membina dan memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah.

Akhirnya, apa yang paling mustahak adalah kita harus bersama untuk memastikan cadangan atau pelan tindakan ini dilaksanakan dengan serta-merta tanpa sebarang kelewatan, kerana inilah satu-satunya penghormatan terbaik yang dapat kita berikan kepada mendiang adik Shing Xuen dan mangsa-mangsa lain supaya tragedi serupa tidak akan berulang. 

Setiap murid berhak berada dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, sejahtera dan menyokong perkembangan mental serta emosi mereka.



Source link