Ada apa dengan semikonduktor? Mengapa semikonduktor menjadi begitu hangat, dan apakah maksud slogan “From Made-in-Malaysia to Made-by-Malaysia“?
Apa faedah kepada rakyat, terutamanya anak muda?
Semikonduktor merupakan komponen penting dalam peranti dan teknologi moden, contohnya dalam telefon pintar, kereta, pusat data, dan sistem kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT.
Digitalisasi yang makin meluas, keperluan untuk kuasa pengkomputeran yang lebih laju dan cekap tenaga, serta ketegangan geopolitik telah mencetuskan “perang cip”.
Ketika Malaysia diiktiraf sebagai negara pembuat semikonduktor, Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) digubal untuk menjadikan Malaysia sebagai pemain “front-end”, dari aspek reka bentuk cip dan pembungkusan lanjutan.
Sejak pelancaran rasmi NSS pada Mei 2024 yang melibatkan sokongan fiskal sebanyak AS$5.3 bilion (RM25 bilion), Kerajaan Negeri Selangor melalui agensi pelaksananya Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sedec) menyokong kuat NSS melalui usaha 3P: pelaburan, peranti, dan pekerjaan.
Semasa pelancaran Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia pertama pada Ogos 2024, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sedec Yong Kai Ping mengumumkan bahawa taman itu penuh diduduki syarikat semikonduktor, dan taman kedua bakal dilancarkan di Cyberjaya tahun ini.
Pada Mac lalu, saya menyertai delegasi Sedec ke Taiwan yang diketuai oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, YB Ng Sze Han. Kami bertemu dengan syarikat gergasi semikonduktor seperti TSMC, Vanguard International Semiconductor Corporation, dan MediaTek.
Selain mempromosikan Selangor sebagai hab serantau, Sedec turut mencadangkan dasar “30 peratus kandungan tempatan” untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pembuat luar, lalu memberi peluang kepada pengilang peralatan asal (OEM) dan pengilang reka bentuk asal (ODM) tempatan menyertai rantaian bekalan reka bentuk IC dalam sektor-sektor seperti pusat data, kenderaan elektrik (EV), dan aeroangkasa.
Peluang bagi anak muda Selangor
(1) Gaji kompetitif setanding dengan Singapura dan Vietnam
Menurut presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Wong Siew Hai, Malaysia kehilangan anggaran 15 peratus daripada modal insan industri semikonduktor setiap tahun akibat hijrah cendekiawan (brain drain). Kalau hendak dibandingkan dengan Singapura atau Taiwan, gaji bagi seorang jurutera muda bermula sekitar RM2,800 – RM3,500 sahaja.
Namun hari ini, Taman Reka Bentuk IC menawarkan gaji bulanan antara RM5,000 – RM6,000 untuk jurutera kelulusan sarjana muda, manakala pemegang ijazah sarjana mampu mendapat gaji lebih daripada RM7,000.
Setiap Taman IC memerlukan 400 – 600 orang jurutera jurusan sains komputer dan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal. Hari Pengambilan Pekerja Semikonduktor Malaysia 2024 anjuran Sedec menarik 2,000 kehadiran dan 3,000 temu duga, serta penglibatan 25 syarikat semikonduktor terkemuka dalam tempoh dua hari; terdapat peserta yang berjaya mendapat pekerjaan semasa perjalanan program.
Selain gaji berpatutan, Taman Reka Bentuk IC juga mempertimbangkan kebolehcapaian (bagi tujuan logistik) dan gaya hidup contohnya rangkaian pengangkutan awam, aktiviti runcit, kemudahan rekreasi, dan sekolah.
(2) Peluang kerja amali praktikal melalui kerjasama industri dan institusi pengajian tinggi (IPTA/S)
Pada Mac 2024, NXP menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Universiti Malaya (UM) untuk menganjurkan siri bengkel bagi merangka kursus elektif untuk kurikulum universiti pada tahun akademik akan datang. NXP dan Universiti Putra Malaysia (UPM) juga menubuhkan Makmal Kerjasama UPM-NXP bagi tujuan kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D), aplikasi praktikal, dan peluang pekerjaan.
IPT lain menganjurkan program bersama syarikat semikonduktor untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam jurusan Stem. Bulan lalu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM), dan Bintang Capital Partners menandatangani MOU bagi memperkenalkan dana “Bintang Semiconductor Impact Fund I” (BSIF I). Objektif BSIF I termasuk menyokong inisiatif peralihan karbon dan mewujudkan peluang pembangunan kerjaya untuk wanita.
(3) Peningkatan kemahiran dan pendedahan antarabangsa melalui Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (Asem)
Di Taiwan, saya sempat menyaksikan Asem menandatangani MOU dengan National Yang Ming Chiao Tung University (NYCU) dan National Tsing Hua University. Mahasiswa dan penyelidik kejuruteraan Malaysia kini boleh menyertai program pertukaran dan mendapat pengalaman di makmal R&D berteknologi tinggi di Taiwan.
Asem bertanggungjawab melaksanakan dua program dengan kerjasama ChipInventor, platform reka bentuk cip semikonduktor berasaskan awan yang dibangunkan di Brazil, iaitu:
– National Semiconductor Excellence Programme (NSEP) untuk mahasiswa tahun ketiga dan keempat, graduan baharu, dan pekerja baharu dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektrikal (E&E), sains komputer, atau bidang berkaitan. Permohonan kini dibuka untuk pengambilan Julai dan September.
– Global Semiconductor Exchange Programme (GSEP) untuk mahasiswa ijazah sarjana muda dan graduan baharu dalam pelbagai aliran kejuruteraan, dan pekerja baharu. Permohonan kini dibuka untuk pengambilan bulan Ogos. Pada minggu lepas, 30 orang mahasiswa telah pun bertolak ke Shenzhen Institute of Information Technology (SZIIT) dengan biasiswa penuh.
Dengan penglibatan IPTA/S, syarikat semikonduktor, dan portal pekerjaan Asem, peserta program peningkatan kemahiran Asem dapat diserap sebagai tenaga kerja tanpa melengahkan masa. Antara IPT yang terlibat ialah UM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Unisel, Universiti Sunway, Universiti Monash, Kolej Universiti New Era, dan Universiti Xiamen Malaysia.
Mengekalkan modal insan di tanah air
Isu hijrah cendekiawan tidak mungkin diselesaikan dengan mudah. Ketegangan geopolitik dan isu tarif Amerika Syarikat (USA) telah menimbulkan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan. Setakat ini, tarif belum dikenakan ke atas semikonduktor, tetapi kita harus bersedia. Kesenjangan modal insan dalam industri semikonduktor tempatan mesti ditangani secepat mungkin.
Melihat perkembangan “bekerja dari rumah” (WFH), dan kesihatan mental dan keseimbangan kerja-hidup yang menjadi keutamaan kebanyakan anak muda, syarikat semikonduktor dan IPT harus elakkan kesilapan melatih modal insan semata-mata untuk pasaran kerja.
Inovasi dan pembangunan mesti berkembang seiring dengan usaha untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih baik, adil dan inklusif agar kebajikan pekerja dijaga.
LIM YI WEI ialah anggota Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku merangkap ketua Biro Dasar Awam DAP Selangor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.