PETALING JAYA: Walaupun tragedi kemalangan hampir meragut seluruh kehidupannya, Susilah Muniandy, 60, terus bertahan dengan sokongan kasih sayang yang ikhlas daripada ahli keluarga.
Susilah Muniandy, 60, kini tinggal bersama anak saudaranya selepas hilang keupayaan akibat kemalangan langgar lari. Bagi anak saudaranya, Pandia, menjaga Susilah bukan sekadar tanggungjawab tetapi simbol kasih sayang dan balasan budi terhadap wanita yang pernah membesarkannya.
“Suaminya telah meninggal dunia hampir 20 tahun lalu dan dia tidak mempunyai anak. Hanya saya yang menjaga dia,” katanya
Tambahnya, kasih sayang Susilah yang membesarkannya dan adik-beradik sejak kecil menjadi penguat semangat untuk terus menjaga ibu saudaranya.
“Dia macam ibu kedua kami. Masa kecil, dia jaga kami dengan penuh kasih sayang dan memberi bantuan kewangan ke sekolah. Sekarang giliran kami membalas budi walaupun dia bukan seperti dahulu lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Pandia, cabaran menjaga Susilah bukan mudah. Selepas kemalangan, dia menjadi lebih sensitif, beremosi dan sukar dikawal.
“Sebelum ini, dia seorang yang tenang. Namun selepas kejadian sikapnya berubah menjadi mudah marah dan sering membuang barang,” katanya.
Tambahnya, dia sentiasa memastikan jadual kerjanya diatur dengan baik untuk memastikan ibu saudaranya sentiasa dijaga.
“Walaupun saya keluar bekerja namun saya tetap menjaga dia jika ada masa terluang,” katanya.
Bantuan yang diterima daripada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) banyak membantu dalam menguruskan kos perubatan Susilah selain membeli keperluan ibu saudara memandangkan.
Tambahnya, menjaga ahli keluarga yang sakit bukan sahaja menuntut masa dan tenaga malah memerlukan tahap kesabaran serta kekuatan emosi yang tinggi.
“Bagi mereka yang sedang menjaga ahli keluarga yang sakit, nasihat saya sentiasa bersabar dan kuat kerana mereka seperti anak kecil,” katanya.
Sempena Merdeka 2025, saksikan kisah benar rakyat Malaysia yang bangkit membina semula kehidupan mereka. Dengarkan suara mereka. Hayati semangat juang mereka.
Tonton dan sokong kisah pilihan anda.
https://www.utusan.com.my/kempen-hati-mulia-2025/