Malaysia Oversight

Karambunai kejayaan besar PAS walau musuh anggap kecil

By MkiniBM in December 3, 2025 – Reading time 2 minute
Karambunai kejayaan besar PAS walau musuh anggap kecil


Presiden Abdul Hadi Awang menyifatkan parti itu mencapai kejayaan yang lebih besar dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah walaupun seteru mereka memperkecilkan kemenangan di DUN Karambunai.

Hadi berkata demikian mengulas kejayaan memenangi kerusi DUN sulung di Sabah baru-baru ini.

“Bermula dengan satu kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pertama Persekutuan prakemerdekaan pada 1955, iaitu hanya satu kerusi di Kerian Laut, Perak, kini memiliki Ahli Parlimen terbesar seramai 43 orang dan memerintah empat negeri, di samping mempunyai kerusi DUN terbesar di beberapa negeri dan di semua negeri di Semenanjung Malaysia.

“Terkini, tumbuh satu di Malaysia Timur menjadi benih pertama yang bertapak di buminya.

“Karambunai dengan izin Allah menjadi benih pertama di Malaysia Timur yang akan mengembangkan pengaruh perjuangan di tanah air dan menjadikannya lebih kuat.

“Maka, kita memanjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah. Ada yang menangis kerana terlalu gembira dan besarnya harga kemenangan, walaupun hanya satu kerusi sahaja,” katanya dalam tulisan minda presiden, hari ini.

DUN Karambunai dimenangi calon PAS Aliakbar Gulasan dalam PRN Sabah ke-17 baru-baru ini dengan menewaskan 10 calon lain dengan majoriti kurang 400 undi.

Dalam sejarah, menurut Ahli Parlimen Marang itu, dunia pernah kehilangan negara di Eropah Selatan dan Asia Tengah, selain jatuhnya kuasa besar dan tanah airnya dijajah, namun cahaya Islam tetap bernyala dan kini menembusi sempadan negara yang paling bermusuh dengan Islam.

Katanya, di Malaysia kerusi yang dimenangi PAS pernah berjaya dibenamkan dalam pilihan raya dan negeri yang diperintah sehingga kerajaannya dijatuhkan, namun ahli PAS terus bertambah dan gerak kerjanya terus hidup, bahkan banyak yang bangkit semula dengan lebih kuat, menandakan benihnya tidak boleh dimatikan.

“PAS tidak rebah dengan dikhianati perjuangannya, kehilangan pemimpin, atau diharamkan beberapa perjalanannya.

“Kini, PAS mencapai kejayaan yang lebih besar, walaupun dianggap kecil oleh musuh.

“Semua ideologi menunjukkan kelemahannya, sehingga jatuh atau hilang pemimpin yang tidak mampu bangkit semula,” jelasnya.

a56434047dc08da6f4cb5d57cf83236d

Sementara itu Aliakbar berkata, dia kini fokus untuk menyediakan pusat khidmat DUN Karambunai yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Selain itu dia juga akan menyediakan kemudahan rawatan kesihatan khusus buat penduduk pedalaman kawasan itu.

“Saya akan lancarkan pusat khidmat dan perkhidmatan rawatan kesihatan dalam tempoh terdekat.

“Kita sediakan doktor untuk berjumpa masyarakat khususnya mereka yangg sukar keluar ke klinik atau hospital atau kurang kemampuan.

“Di Karambunai ni sebahagian penduduk menetap jauh dari perkhidmatan kesihatan (sedia ada),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.



Source link