PETALING JAYA: Lembaga Pengarah Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan persaraan Datuk Kapten Izham Ismail daripada jawatan Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa 31 Januari 2026, selepas lebih empat dekad berkhidmat dalam syarikat itu.
Sehubungan itu, lembaga turut melantik Kapten Nasaruddin A. Bakar, atau lebih dikenali sebagai Captain Nasa, sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Group CEO) yang baharu, menggantikan jawatan terdahulu tersebut.
Ahli Lembaga Pengarah MAG merangkap Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pelantikan itu mencerminkan kesinambungan kepimpinan yang kukuh bagi memastikan hala tuju strategik kumpulan terus terjamin.
“Bagi pihak lembaga dan seluruh warga MAG, kami merakamkan penghargaan tulus kepada beliau atas khidmat serta kepimpinannya yang cemerlang. Beliau menunjukkan komitmen, integriti dan semangat tinggi dalam menerajui MAG melalui fasa transformasi dan pertumbuhan penting.
“Kami juga mengalu-alukan pelantikan Kapten Nasa sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG. Pengalaman luas serta kefahamannya terhadap industri dan operasi kumpulan memberikan keyakinan penuh kepada lembaga untuk meneruskan agenda strategik MAG,” katanya.
Datuk Kapten Izham memulakan kerjayanya bersama Malaysia Airlines sebagai juruterbang pada tahun 1979 sebelum memegang pelbagai jawatan penting, dan seterusnya dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan pada 1 Disember 2017.
Beliau merupakan Ketua Eksekutif paling lama berkhidmat dalam sejarah syarikat itu dan berjaya melaksanakan penstrukturan semula kewangan serta penambahbaikan operasi yang membawa MAG kembali mencatat keuntungan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Dengan kedudukan kewangan kumpulan yang lebih kukuh, MAG bersedia melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya dengan matlamat memperkukuh operasi mampan di bawah kepimpinan baharu.
Sementara itu, Kapten Nasa yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam operasi penerbangan, pengurusan dan strategi di bawah MAG, sebelum ini menjawat jawatan Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines.
Pelantikan ini menandakan satu lagi detik penting dalam evolusi MAG, yang terus komited memperkukuh kedudukan kumpulan sebagai peneraju industri penerbangan nasional dan serantau. – UTUSAN






