Kapal Purba Berusia Lebih 800 Tahun Ditemukan Di Melaka
Effi Saharudin
Kepingan kayu yang dipercayai serpihan kapal milik pembesar Melayu sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka ditemukan di Pulai Melaka pada 30 Oktober lalu. Penemuan luar biasa ini adalah hasil penggalian Jabatan Warisan Negara (JWM) dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Timbalan Pesuruhjaya JWM Ruzairy Arbi berkata selain tarikh, saiz dan bahan binaan yang digunakan untuk membina kapal tersebut, penemuan ini juga mampu membuktikan kepakaran orang Melaka dalam dunia maritim telah lama wujud. Adalah dipercayai kapal digunakan antara 1200 dan 1300 dengan ia dianggarkan sepanjang 50 hingga 70 meter yang menjadikannya lebih besar berbanding kapal Mendam Berahi yang disebut dalam Hikayat Hang Tuah.

Sample kayu kapal telah dihantar ke makmal Beta Analytic di Amerika Syarikat bagi melakukan ujian pentarikhan radiokarbon dan mendapati kapal ia menggunakan komponen kayu saga dan kayu merbau. Selain itu kapal juga tidak menggunakan sebarang paku logam tetapi bergantung sepenuhnya kepada teknik pasak kayu untuk menyambungkan komponen.
Proses menyahpasang dan memindahkan komponen kapal sedang dilakukan bagi menjalankan proses konservasi selanjutnya. Selain kayu, serpihan mangkuk porselin dan duit syling yang dipercayai dari era Sultan Mahmud turut ditemukan di tapak penggalian. Jabatan Warisan Negara merancang untuk mempamerkan artifak ini kepada umum selepas kerja-kerja ekskavasi dan dokumentasi dilengkapkan kelak.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






