Malaysia Oversight

Kantan Food Asia perkukuh pasaran dengan pensijilan halal

By Utusan in September 1, 2025 – Reading time 3 minute
Kantan Food Asia perkukuh pasaran dengan pensijilan halal


PETALING JAYA: Kantan Food Asia Sdn. Bhd. terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri makanan premium Asia Tenggara selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Malaysia (Jakim), sekali gus melonjakkan keyakinan pengguna dan membuka pintu lebih luas ke pasaran antarabangsa.

Ditubuhkan pada tahun 2021, syarikat ini beraspirasi sebagai pengeluar pes makanan sedia dimakan yang menggabungkan resipi tradisional dengan citarasa moden serta menggunakan bahan semula jadi tanpa pengawet.

Pengarahnya, Seth Yam berkata, produknya bukan sahaja diterima baik di pasaran tempatan, malah sudah menembusi pasaran luar negara.

“Pensijilan halal ini menjadikan pelanggan lebih yakin terhadap produk kami. Ia juga membuka peluang untuk kami menembusi rangkaian pasar raya besar, hotel, restoran serta pasaran eksport yang sememangnya meletakkan sijil halal sebagai syarat utama kemasukan produk.

“Dalam tempoh beberapa tahun ini, kami dapat melihat sendiri bagaimana halal menjadi faktor penentu untuk sesebuah jenama berkembang lebih jauh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai proses mendapatkan pensijilan itu, Seth berkata, ia melibatkan dokumentasi lengkap berkaitan bahan mentah, pembekal dan resipi, selain pemeriksaan audit menyeluruh di fasiliti pengeluaran bagi memastikan syarikat benar-benar mematuhi piawaian halal.

“Kami sudah memperbaharui sijil halal sebanyak dua kali sejak mula beroperasi. Ia memerlukan disiplin tinggi untuk memastikan setiap dokumentasi dan rekod sentiasa dikemas kini serta bahan mentah yang digunakan mendapat pengesahan halal daripada pembekal.

“Cabaran utama adalah memastikan rantaian bekalan kami konsisten kerana jika satu daripada bahan mentah tidak mempunyai sijil halal sah, ia boleh menjejaskan keseluruhan proses,” jelasnya.

Menurut Seth lagi, sijil halal bukan sahaja penting untuk pengguna beragama , tetapi juga memberi jaminan kualiti dan kebersihan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Halal bukan sekadar pensijilan agama. Ia melambangkan kebersihan, keselamatan dan kualiti produk. Inilah yang menjadikan halal begitu dihormati di peringkat antarabangsa kerana ia mencerminkan piawaian yang tinggi dalam pengeluaran makanan.

“Dengan ada halal, kredibiliti jenama meningkat secara automatik dan kami dapat bersaing lebih yakin dengan jenama lain di pasaran global,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan sokongan sijil halal, Kantan Food Asia kini menyasarkan peluasan pasaran ke negara-negara yang mempunyai komuniti  besar seperti Asia Barat, Eropah dan Asia Tenggara.

“Pensijilan halal menjadi batu loncatan untuk kami menembusi pasaran antarabangsa. Banyak negara memberi keutamaan kepada produk yang disahkan halal, malah ada yang menjadikannya syarat wajib untuk dibawa masuk.

“Inilah peluang yang ingin kami manfaatkan untuk membawa makanan premium Asia Tenggara ke pentas dunia,” katanya.

Seiring dengan matlamat itu, syarikat berkenaan komited mengekalkan piawaian antarabangsa serta memperkukuh operasi pengeluaran bagi memastikan konsistensi kualiti setiap produk.

Seth menegaskan, halal bukan hanya strategi pemasaran, sebaliknya satu komitmen jangka panjang syarikat terhadap pengguna.

“Apabila kita menjaga aspek halal dengan teliti, secara automatik kita juga menjaga aspek kebersihan dan keselamatan makanan. Ini memberi nilai tambah bukan sahaja kepada pengguna, tetapi juga kepada syarikat untuk jangka masa panjang,” jelasnya. – UTUSAN





Source link