Malaysia Oversight

Kanda gugurkan 10 tan bantuan ke Gaza

By MkiniBM in August 5, 2025 – Reading time 1 minute
Kanda gugurkan 10 tan bantuan ke Gaza


GLOBAL | Kanada menggugurkan 10 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mengecam tindakan Israel menghalang penghantaran bantuan sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Ottawa hari ini.

“Kanada mengambil langkah luar biasa ini bersama rakan-rakan antarabangsa kerana akses kepada bantuan kemanusiaan di Gaza sangat terhad, manakala keperluan bantuan telah mencapai tahap yang belum pernah berlaku,” kata Menteri Luar Anita Anand dan Menteri Pertahanan David McGuinty.

Menurut mereka, meskipun keperluan sangat mendesak, rakan pelaksana menghadapi kesukaran untuk menyalurkan makanan dan ubat-ubatan menyelamatkan nyawa melalui jalan darat disebabkan sekatan berterusan oleh Israel.

“Tindakan menghalang penghantaran bantuan ini adalah satu pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mesti dihentikan serta-merta,” kata mereka.

Dalam misi yang sama, lima negara lain turut menghantar bantuan ke Gaza iaitu Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Mesir, Jerman dan Belgium, menurut tentera Israel dalam satu hantaran di platform X.

Kanada turut menggesa perubahan segera dilakukan bagi memudahkan penyampaian bantuan ke Gaza.

Antara yang dituntut Ottawa termasuk akses selamat dan tanpa halangan kepada kumpulan kemanusiaan, pembukaan semua pintu sempadan, kelulusan kastam yang pantas serta pemberian visa jangka panjang kepada petugas bantuan.

Para menteri Kanada menggambarkan keadaan di Gaza sebagai “amat menyedihkan” dan menegaskan bahawa peningkatan besar-besaran dalam penghantaran bantuan adalah sangat diperlukan.

Meskipun tekanan antarabangsa semakin memuncak supaya gencatan senjata dilaksanakan, tentera Israel terus melancarkan serangan ke atas Gaza sejak 7 Okt 2023, yang meragut hampir 61,000 nyawa rakyat Palestin.

Bernama/Anadolu



Source link