Sebuah kumpulan hak asasi menggesa kerajaan memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan menerusi proses yang sama seperti diberikan kepada tujuh pemain bola sepak kelahiran luar negara.
Dalam kenyataan hari ini, Pertubuhan Pembangunan Sumber Manusia Kawasan Luar Bandar (DHRRA) merujuk penjelasan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias, bahawa pemain bola sepak terbabit memperoleh kewarganegaraan melalui Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan atas alasan keadaan khas.
Presiden DHRRA, S Saravanan, menggesa prinsip sama digunakan untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan, khususnya mereka yang mempunyai ibu bapa warganegara Malaysia tetapi kekurangan dokumen sokongan.
“Kami menggesa Kementerian Dalam Negeri untuk mendedahkan secara telus asas kepada fleksibiliti ini, khususnya pengeluaran semula dokumen tanpa pengesahan daripada Arkib Negara, dan penyerahan dokumen tersebut oleh Persatuan Bola Sepak sebagai bukti kelayakan melalui susur galur keturunan.
“Jika langkah sebegini benar-benar mencerminkan amalan pentadbiran semasa, maka pengiktirafan yang sama mesti diberikan segera kepada semua kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang mempunyai hubungan kukuh dengan Malaysia, dengan menganugerahkan mereka kewarganegaraan di bawah Perkara 19 melalui peruntukan keadaan khas,” katanya.
Pada 26 Sept lalu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengumumkan telah mengenakan sekatan terhadap FAM dan tujuh pemain tersebut kerana melanggar Perkara 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano. Mereka juga dikenakan penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.
Fifa menyatakan bahawa FAM menyerahkan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain-pemain tersebut, membolehkan mereka beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.
Sebagai respon, Pemangku Presiden FAM, Yusoff Mahadi, berkata pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Sijil kelahiran
Sementara itu, Saravanan turut melampirkan salinan kenyataan Badrul bertarikh 19 Sept yang mengakui JPN tidak dapat memperoleh sijil kelahiran asal bertulis tangan pemohon.
Badrul menjelaskan bahawa “selaras dengan amalan pentadbiran semasa”, JPN mengeluarkan salinan rasmi berdasarkan bukti kelahiran.

“Penemuan dan pengesahan rekod kelahiran ini digunakan sebagai bukti sokongan dalam penilaian kerajaan serta memenuhi syarat seperti tempoh bermastautin di Malaysia, penguasaan bahasa Melayu yang mencukupi, serta akhlak baik. Semua ini menjadi asas yang mencukupi di bawah Perkara 19 untuk meneruskan pengeluaran sijil naturalisasi kepada pemohon.
“Saya mengesahkan bahawa segala ketelitian dan prosedur undang-undang telah dipatuhi dalam proses ini, dan pengeluaran sijil kewarganegaraan dibuat mengikut kehendak undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan sepenuhnya,” katanya.
Surat sama pernah dikongsi oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam hantaran di platform X.
Denda Fifa
Selain sekatan, Fifa turut menetapkan FAM perlu membayar denda 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta), manakala setiap pemain dikenakan denda 2,000 franc Swiss (RM10,500).
Pada 29 Sept, Bernama melaporkan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, berkata terdapat kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen pemain-pemain tersebut. Namun butiran lanjut mengenai “kesilapan” itu tidak didedahkan.
Ketujuh-tujuh pemain tersebut menyertai skuad bola sepak Malaysia atas kapasiti sebagai “pemain warisan” – iaitu pemain yang mempunyai pertalian keluarga dengan Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, pula menegaskan bahawa pemain-pemain berkenaan mendapat kewarganegaraan selepas proses semakan teliti, dan semua undang-undang kewarganegaraan telah dipatuhi.
Bagaimanapun, peguam hak asasi manusia, Eric Paulsen, mempersoalkan kesahihan proses naturalisasi itu, dengan mendakwa penjelasan Saifuddin mengenai kelayakan pemain berdasarkan salasilah keturunan tidak kukuh untuk dipertahankan.






