Kanak-kanak yang terlibat dalam hubungan seks bawah umur tanpa mengira jantina perlu dilindungi, dibimbing dan dipulihkan serta bukannya diakhiri dengan tindakan hukuman, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri.
Nancy berkata sebagai kanak-kanak, mereka harus diberi peluang dan ruang untuk belajar daripada kesilapan, memulihkan diri, dan membina semula kehidupan tanpa dibebani stigma atau trauma jangka panjang
Justeru katanya, isu ini tidak boleh ditangani melalui peruntukan undang-undang semata-mata.
“Hal ini perlu dilihat dengan mengambil kira pembangunan diri kanak-kanak daripada segi emosi, kognitif, sosial dan sebagainya.
“Ini dapat membantu kanak-kanak menilai sendiri kesan sesuatu tindakan yang diambil. Justeru, fokus utama KPWKM berhubung isu ini adalah untuk memberi tumpuan kepada kaunseling, pendidikan dan sokongan yang tersusun bagi menjamin pembangunan serta kesejahteraan masa depan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataannya itu hadir di tengah-tengah perbincangan mengenai isu rogol bawah umur, susulan kenyataan Ketua Polis Kelantan, Yusoff Mamat yang mencadangkan agar gadis yang terlibat dalam hubungan seks secara suka sama suka juga dikenakan tindakan.
Yusoff berkata dia akan mengemukakan cadangan itu dengan Jabatan Peguam Negara serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.
Pengkritik menyifatkan cadangan tersebut sebagai langkah ke belakang kerana gadis bawah umur tidak cukup matang atau sah dari segi undang-undang untuk memberikan persetujuan kepada hubungan seks.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pula berkata cadangan Yusoff merupakan pendapat peribadi.
Dalam kenyataannya, Nancy menegaskan kenyataan dan pandangan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak tanpa asas yang kukuh mengenai sifat semulajadi kanak-kanak yang perlu dibimbing dan dilindungi boleh disalah erti atau menimbulkan kekeliruan masyarakat.
Menurutnya, perundangan dan program sedia ada yang memberi penekanan kepada intervensi, perlindungan dan proses pemulihan bagi kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang adalah selaras dengan pendirian KPWKM.
“Pada masa yang sama, perlu ditegaskan bahawa individu dewasa memikul tanggungjawab utama untuk membimbing dan melindungi kanak-kanak, dan tidak boleh sama sekali – dalam apa jua bentuk –mengeksploitasi mereka,” katanya.