Dua tokoh kanan PAS dari Pahang menceritakan pengalaman mereka sendiri bagi menangkis dakwaan parti mereka mendapat pembiayaan daripada Bersatu, termasuk bernilai jutaan ringgit.
Bekas anggota Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Mokhtar Senik, berkata semua program atau aktiviti parti itu digerakkan melalui dana yang disumbangkan oleh ahli sendiri.
Malah, katanya, disebabkan budaya sentiasa sedia menyumbang kepada perjuangan itu, PAS dilabel sebagai “parti tin Milo”.
Mokhtar sendiri mendakwa dia pernah gagal hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat pada suatu ketika dulu kerana tidak memiliki wang bagi membiayai perbelanjaannya.
“Kami tak pelahap duit mana-mana parti. Sebab itu itu (kami) tak boleh dikhadamkan. Kamu tegok sikit parti kamu, berapa banyak kes rasuah?” katanya dalam hantaran di media sosial.
Isu siapa yang membiayai parti bagi menghadapi pilihan raya mula panas apabila Naib Presiden PAS Muhammad Sanusi Md Nor menegur parti komponen PN yang dianggapnya “mai (datang) bertanding syok saja” sedangkan mereka tidak memiliki jentera atau dana.
Dia yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan PN menegaskan dalam penggulungan muktamar baru-baru ini, dalam keadaan begitu pun Bersatu berhasrat mahu menjadi ketua dalam gabungan berkenaan.
Tungkus-lumus cari dana
Sehari kemudian bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Muhyiddin Yassin semasa ahli politik itu menjadi perdana menteri, Marzuki Mohamad, mengingatkan bahawa bantuan dana yang diberikan oleh Bersatulah membolehkan PAS mencapai kejayaan memenangi 43 kerusi parlimen buat pertama kali.
“Perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu. Malah Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada PAS,” katanya.
Kenyataan itu kemudian disangkal pula oleh Sanusi yang meminta Marzuki menjelaskan kepada siapa dana Bersatu itu diserahkan kepada PAS – khususnya di Kedah – tidak ada menerimanya.
Mokhtar berkata selama berkhidmat sebagai anggota Jawatankuasa PAS Pusat dan Dewan Ulama PAS Pusat, dia tidak menerima sebarang elaun perjalanan atau mesyuarat.
Jika dijadualkan bermesyuarat di Sarawak pun, katanya, tiada elaun akan diberikan oleh parti.
“Kamu nak kata kami ditaja lagi? Sori bro… kamu tak kenal kami jangan bercakap sedap mulut.
“Kamu tanya ahli Umno yang jujur, bagaimana kami berkerja dan berkorban sepanjang mereka bersama PAS dalam MN (Muafakat Nasional),” katanya.
Bekas Ketua Pemuda PAS Pusat dan ketua penerangan parti itu, Nasrudin Hassan, turut menafikan ada menerima dana daripada Bersatu.
Kata bekas Ahli Parlimen Temerloh dan calon PAS di Indera Mahkota itu, mereka menyertai pilihan raya dengan dana yang disumbangkan oleh para ahli parti.
“PAS sertai PRU dengan biaya ahli-ahlinya. Tungkus lumus cari dana. (Kawasan) Indera Mahkota umpamanya, tiada pula terima jutaan RM dari Bersatu,” katanya malam tadi.