Wakil masyarakat Orang Asli di Kampung Chang Lama, Bidor, hari ini tampil menyangkal dakwaan Syarikat Kuari Siong Emas dan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad bahawa mereka menceroboh tanah warisan di Bidor.
Sambil membidas kenyataan seumpama itu sebagai menghina dan tidak tepat dari segi sejarah, penghulu adat masyarkat Orang Asli, Sabran Aalap berkata mereka telah menghuni di tanah itu sejak turun temurun – sebelum Perang Dunia II, ketika Bidor masih hutan belantara.

Malah, katanya, mereka telah berada di situ sebelum merdeka, sebelum wujud perlembagaan, dan undang-undang serta negara Malaysia.
“Kenyataan-kenyataan (yang mendakwa kami adalah penceroboh) ini adalah bersifat satu penghinaan kepada kami kerana seolah-olah, kami adalah pendatang yang menumpang di sini dan tidak mengenal mana asal usul kami serta mana tempat kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dia seterusnya menyoal siapa yang memberi tempat-tempat sekitar seperi gunung-ganang, sungai, bukit-bukau di sekitar wilayah itu.
“Nama bukit, nama sungai, nama lubuk, nenek moyang kami yang beri daripada peristiwa-peristiwa yang terjadi di masa itu.
“Perkuburan nenek moyang siapa yang ada di kawasan sini? Kami belum nampak ada perkuburan Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa wujud di sini,” katanya.
Menurut Sabran, sejak berkurun-kurun lamanya, masyarakat Orang Asli telah mencari makan di tanah itu.
“Wilayah ini kami yang guna dan pulihara,” katanya.

Pertikaian itu timbul apabila pemilik kuari Siong Emas Sdn Bhd mendakwa kumpulan Orang Asli yang menceroboh plot tanah seluas 2.832ha yang dipanggil Lot 16225 di Batang Padang milik syarikat tersebut.
Siong Emas dilaporkan telah diberikan pajakan selama 30 tahun untuk tapak tersebut pada 14 Feb 2007, yang tamat tempoh pada 26 Mei 2022.
Sambungan pajakan 44 tahun, tamat tempoh pada 25 Mei 2066, kemudiannya telah didaftarkan pada 29 Nov 2021.
Pada 18 April lalu, kumpulan alam sekitar Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mempersoalkan bagaimana syarikat itu diberikan pajakan ke atas tanah pusaka Orang Asli.

Semalam, Saarani menggesa masyarakat Orang Asli agar tidak mudah terpengaruh dengan pihak-pihak tertentu yang membawa agenda tersendiri.
Mengulas lanjut, Sabran berkata dia sungguh kecewa kerana kewujudan Orang Asli di situ tidak disedari oleh kerajaan sejak zaman pemerintahan BN/Umno sehingga pentadbiran hari ini.
Ia, kata pengulu adat itu, sehinggakan banyak kawasan dalam wilayah mereka sewenang-wenangnya diberi kepada orang luar.
“Kami penat sebab tidak boleh hidup dengan tenang dan damai di atas tanah air sendiri di dalam wilayah tanah adat kami sendiri.
“Pengorbanan awal nenek moyang kami adalah meninggalkan kawasan yang mana terletaknya bandar Bidor sekarang, kepada para pendatang masa itu supaya kami boleh hidup dengan tenang,” katanya.