Malaysia Oversight

‘Kalaupun kerajaan dulu luluskan, kerajaan sekarang boleh batalkan’

By MkiniBM in September 13, 2025 – Reading time 2 minute
‘Kalaupun kerajaan dulu luluskan, kerajaan sekarang boleh batalkan’


MUKTAMAR | Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sekarang boleh saja melakukan sesuatu berhubung pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, walaupun isu tersebut bermula ketika pentadbiran sebelumnya.

Tuan Ibrahim berkata, isu yang sedang hangat diperkatakan itu bukanlah perkara baru, sebaliknya telah lama berlaku.

“Ini isu lama yang bukan baru-baru berlaku… isu lama yang kita perlu tengok balik.

sebelum ini, kalaupun dia luluskan, yang sekarang ada kuasa batal…kalau kita tak setuju dengan perkara sebelum ini, kita boleh perbetulkan,” katanya ketika diminta mengulas berhubung tanah di situ yang berlaku ketika pentadbiran PN pada 2021.

Dia berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong Pusat (DHPP) di Dewan Gandhi di Sungai Petani, Kedah, hari ini.

Sebelum ini, peguam yang mewakili sejumlah penduduk yang tidak bersetuju dengan pengambilan tanah itu, N Surendran menggesa operasi pengosongan ditangguhkan sementara bagi membolehkan penduduk berbincang dengan wakil kerajaan.

Surendran juga mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang menurutnya cuba melepaskan kerajaan daripada tanggungjawab daripada proses itu.

969b16c4fa7dabe6f6aee62eec6cb6e5

“Bukan mahkamah yang merampas secara paksa harta penduduk terlibat. Kerajaan yang melakukannya.

“Mahkamah tidak mempunyai pilihan setelah kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 pada 2021 demi kepentingan pemaju,” katanya.

Mengulas lanjut,  Tuan Ibrahim yang juga menteri Alam Sekitar dan Air pada 2021 berkata apa yang lebih penting ialah nasib penduduk yang sedang merayu di mahkamah.

“Mereka (penduduk) buat rayuan ke mahkamah, kenapa pemaju dan kerajaan tak boleh tunggu keputusan rayuan.

“Sekarang mereka tengah merayu di Mahkamah Rayuan, tiba-tiba rumah mereka dirobohkan…bagaimana kalau mahkamah menerima rayuan mereka, rumah sudah habis (dirobohkan).

“Itu permintaan mereka. Kita pun bangkitkan isu ini dalam konteks hak perundangan yang masih ada bagi penduduk,” katanya lagi.

Rayuan penduduk dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober.



Source link