Malaysia Oversight

Kalau dah namanya susuk, sudah tentu haram – Sophia

By Utusan in September 23, 2025 – Reading time 2 minute
Kalau dah namanya susuk, sudah tentu haram - Sophia


PETALING JAYA: Pelakon, Sophia Albarakbah mengakui pernah mendengar kisah orang yang mengamalkan ilmu susuk, namun secara peribadi dia tidak percaya.

“Saya tidak pasti sama ada betul ke tidak kesannya kerana tidak pernah nampak depan mata tetapi saya anggap itu sama sahaja dengan rawatan moden hari ini. Bezanya, susuk lama menggunakan cara mistik, manakala ‘susuk moden’ lebih kepada suntikan kecantikan dan sudah tentu masih haram.

“Mesej filem ini jelas bahawa kecantikan yang diperoleh melalui cara salah akan membawa padah. Mungkin nampak berjaya dan cantik, tetapi akhirnya akan ada konsekuensi yang lebih buruk. Lebih baik jauhkan diri daripada amalan seperti itu,” ujar Sophia.

Dalam masa itu, Sophia berkongsi pengalaman mencabar sewaktu penggambaran filem terbarunya yang menyentuh tentang amalan sihir, susuk dan penggunaan tembuni (uri bayi) sebagai elemen utama jalan cerita.

Menurut Sophia,32, watak yang dibawanya adalah seorang wanita yang menggunakan tembuni untuk mengekalkan kecantikan dan memerlukan penghayatan mendalam kerana terlibat dalam babak ritual pemujaan dan pembacaan mantera.

“Ada babak yang saya perlu baca mantera, memang rasa sangat seram sebab ini bukan kebiasaan kita tetapi pengarah jelaskan mantera itu telah diubah supaya tidak jadi mantera yang ‘lengkap’ maksudnya.

“Kalau tidak diubah mantera aslinya, saya memang tak sanggup nak menyebutnya.

“Konsep tembuni adalah penggunaan darah yang asli, dijadikan medium untuk menguatkan ilmu sihir. Dalam cerita ini, dia digambarkan sebagai ‘penumpang’ yang memberikan kuasa kepada pengamal,” jelas Sophia.

Selain itu, Sophia juga perlu melalui babak berat seperti menjerit dan meratap di kawasan perkuburan sebenar pada waktu malam.

“Saya sangat takut dan risau, sebab kita tahu kubur adalah tempat yang sensitif, memang sangat susah nak kawal emosi sambil menangis dan menjerit sedangkan sebenarnya saya lebih kepada takut,” katanya lagi.

Sekadar info, filem Tembuni Berdarah bakal di tayangkan di pawagam bermula 25 September ini.-UTUSAN





Source link