PARIT: “Dengan sesiapa pun, kalau bukan mahram, tidak perlulah nak sentuh-sentuh pipi, sentuh-sentuh tangan”.
Demikian teguran Majistret Nurul Izalina Rajaai sebelum menjatuhkan hukuman denda RM2,500 terhadap Samsuri Kamaruddin, 63, yang mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah bagi maksud mencabul kehormatan seorang wanita berusia 23 tahun, dua minggu lalu.
Menurut beliau, sebagai seorang lelaki dewasa terutama warga emas, tertuduh perlu menjaga batas meskipun mendakwa mengenali mangsa.
“Kita semua ada kenalan tapi perlu jaga batas. Dengan sesiapa pun, kalau bukan mahram kita tak perlulah nak sentuh-sentuh pipi dan sentuh-sentuh tangan.
“Di rumah isteri sedang sakit, jadi perbuatan yang kamu lakukan ini bukan sahaja menjatuhkan maruah mangsa tapi ahli keluarga kamu sendiri,” ujar beliau dalam prosiding di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah kedai runcit di Simpang Empat, Bota Kanan, Bota di dalam daerah Perak Tengah pada pukul 4 petang, 5 September 2025.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Ameerul Nazhif Wan Zulfikri manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Syuhada Mohd. Yusof.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,500 terhadap tertuduh dan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh membayar denda tersebut.
Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu iaitu mangsa sedang membuat kira-kira di kaunter pembayaran, dia telah didatangi seorang lelaki warga emas yang bertindak menyentuh pipi kirinya.
Tindakan itu menimbulkan kemarahan mangsa namun tertuduh yang tidak bekerja itu bukan sahaja tidak mempedulikan kemarahan wanita itu malah sekali lagi bertindak menyentuh dan mencubit pipinya.
Perbuatan tertuduh itu menyebabkan mangsa mengalami trauma sehingga takut untuk pergi bekerja. – UTUSAN