Kemenangan di pentas antarabangsa bukan sesuatu yang mudah untuk diraih, apatah lagi bagi seorang pelakon yang masih mencari tapak kukuh dalam industri tanah air.
Namun, Azira Syafinaz membuktikan masih ada peluang buat pelakon sepertinya membuka mata umum selepas merangkul Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (APFF).
Kejayaan itu sekali gus mengangkat reputasi bintang ini ke tahap baharu, menandakan bakatnya diiktiraf bukan sahaja di Malaysia, malah di mata dunia.
Di sebalik sorakan kejayaan, terdengar juga bisik-bisik yang mengatakan Azira kini lebih selektif dalam menerima tawaran.
Ada beranggapan dia mahu mengekalkan momentum kemenangan tersebut dan enggan menjejaskan reputasi yang sedang meningkat. Tidak kurang pula mendakwa, pelakon ini mula larut dengan pujian. Namun, bagi Azira sendiri, hakikatnya tidak semudah itu.
Mengajaknya berbicara mengenai perkara itu, anggota kumpulan De Fam ini meluahkan pandangannya.
Ramai memuji apabila Azira meraih satu demi satu anugerah dalam seni lakon dan pengiktirafan itu semakin menyerlah apabila Azira merangkul anugerah di APFF ke-61. Pun begitu ada menganggap Azira mudah larut dengan pujian sekali gus memberi gambaran Azira perlu mengekalkan momentum itu supaya tidak berasa tertekan. Boleh komen?
Jujurnya, saya rasa wow! Tidak sangka boleh sampai tahap itu, sebab di Malaysia saya belum pernah diiktiraf sebegitu besar. Apabila orang luar nampak usaha kita, rasa macam semua kerja keras selama ini berbaloi. Saya fikir, Alhamdulillah, ini tanda saya berada di jalan yang betul.
Tetapi untuk mengatakan saya mudah larut dengan pujian kerana anugerah yang saya dapat, itu tidak benar. Anugerah yang diterima ini umpama penanda aras dan penghargaan terhadap segala kerja keras yang dilakukan, yang mana selama ini saya sendiri persoalkan. Saya selalu tertanya-tanya, ‘Aku ini okeykah berlakon? Akhirnya persoalan itu terjawab. Minat saya ini rupanya boleh bawa saya jauh.
Tetapi mustahillah juga jika pelakon itu tidak suka pujian. Bukankah itu boleh dianggap sebagai penyuntik semangat?
Betul, siapa yang tidak suka dengan pujian. Tetapi bukanlah saya mahu orang memuji saya sentiasa atau hendak pengarah puji saya bagus sahaja. Bagi saya, yang paling penting kepuasan penonton. Bila penonton tengok dan mereka rasa apa yang saya sampaikan melalui lakonan itu, barulah saya rasa puas. Saya bukan berlakon untuk sekadar orang cakap, ‘Oh, baguslah awak berlakon’. Tetapi apa yang saya lakukan ini semua kerana minat.
Sejak dulu, sebelum jadi pelakon lagi, saya memang peminat seni lakon. Saya suka tengok orang berlakon, saya suka tengok teater. Malah saya hargai bagaimana pelakon membawa sesuatu watak. Kadang-kadang di rumah, saya berangan sewaktu kecil. Bermakna, memang dari dahulu wujud sisi diri saya yang mahu jadi pelakon itu. Cuma saya tidak nafi, adakala terlalu banyak overthinking.
Apa maksud Azira begitu?
Saya seorang yang indesisif atau yang berfikiran tak pasti. Bukanlah saya tidak boleh membuat keputusan sendiri, tapi saya selalu fikir panjang. Kalau ada dua pilihan antara A atau B, saya akan tanya diri sendiri, ‘patut pilih yang mana?’
Saya akan fikir lama-lama. Itu memang masalah saya sejak dulu. Kadang-kadang terlalu banyak berfikir ini ada baiknya juga. Apabila fikir, kita tahu di mana kita berada dan sedar diri masih banyak kekurangan. Contohnya, dalam lakonan. Saya selalu fikir tentang mutu lakonan saya.
Secara peribadi, adakah Azira rasa mana-mana pertandingan festival filem antarabangsa ini mampu buka pasaran filem dan pengkarya tempatan ke luar negara?
Mengapa tidak? Kira harus percaya, jika APFF boleh mengiktiraf bakat seorang Azira Syafinaz yang bagi saya ‘tak seberapa’ ini, saya sedar bahawa pasaran kita sebenarnya luas. Kita boleh pergi jauh kalau kita mahu.
Cuma kadang-kadang, mungkin peluang atau masa kita belum sampai. Jadi bila saya dapat peluang ini, saya harap boleh kembangkan lagi bakat, bukan saja di Malaysia tapi juga di luar negara.
Sepanjang kerjaya, Azira pernah terima kritikan pedih?
Sudah tentu. Banyak. Sampai sekarang pun masih ada mengkritik. Tapi saya anggap ia perkara positif.S ebab bagi saya, kalau orang asyik kata kita bagus, kita mungkin tidak berpijak di bumi nyata. Kritikan itu yang kadang-kadang tolak kita ke depan.Dulu, masa awal-awal berlakon, saya pernah rasa tertekan bila dikritik.
Tapi sekarang, saya lebih tenang. Saya akan fikir, tak mengapa, ini jalan yang saya pilih. Kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Malah, saya pernah fikir juga, mungkin ada benda yang saya buat tidak kena pada mata orang lain. Jadi, saya ambil semua teguran itu positif untuk perbaiki diri. Dulu saya cepat terasa, sekarang lebih banyak buat kerja rumah daripada duduk melayan rasa.
Jadi, perlukan kritikan untuk maju?
Saya rasa, ya. Walaupun saya tidak ‘memerlukan’, kritikan itu secara sengaja, ia membantu saya. Setiap komen atau teguran akan buat saya lebih sedar dan belajar untuk betulkan kelemahan diri.
Saya selalu ingatkan diri, tidak semua yang saya rasa betul, betul pada mata orang lain.
Jadi, bila dikritik, saya terima. Saya pilih untuk lihat semua itu dengan cara positif, sebab dalam industri ini, jatuh bangun itu biasa, yang penting kita terus belajar.