Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM550,000 kepada pemimpin DAP, Lim Guan Eng, dalam kes fitnah.
Peguam Oh, Chai Ko Thing memaklumkan rayuan itu difailkan pada 21 Mei lalu.
“Permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan juga telah difailkan pada 22 Mei sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan,” katanya kepada FMT.
Dia turut memaklumkan pengurusan kes dijadualkan berlangsung esok (26 Mei).

Pada 7 Mei, Mahkamah Tinggi Georgetown memutuskan memihak kepada Lim setelah mendapati Oh memfitnah bekas menteri kewangan itu dengan tuduhan palsu bahawa dia membantu seorang penganjur konsert mendapatkan pengecualian cukai.
Hakim Kenneth St James memerintahkan Oh membayar RM400,000 sebagai ganti rugi am, RM100,000 sebagai kos guaman, serta faedah lima peratus setahun dari tarikh writ difailkan.
Kes itu merujuk kepada sidang media Oh yang diadakan pada 25 September 2019, apabila dia mempersoalkan jika Lim telah membantu syarikat WGW Entertainment Sdn Bhd dan pemiliknya, Hendrik Huang, memperoleh pengecualian cukai bagi konsert Mandopop “Fantastic Duo” yang dijadualkan berlangsung di Spice Arena, Bayan Lepas tetapi kemudiannya dibatalkan.
Oh turut dilaporkan menunjukkan gambar Lim bersama Huang serta beberapa surat rasmi daripada Kementerian Pelancongan dalam sidang media itu, sebagai cubaan mengaitkan kedua-dua individu berkenaan.

Kenyataan Oh itu turut dimuatkan dalam siaran media rasmi Gerakan Pulau Pinang dan diterbitkan oleh China Press.
Mahkamah turut mengarahkan Oh menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat kepada Lim dalam versi cetak dan dalam talian akhbar China Press, serta dilarang daripada mengulangi kenyataan berunsur fitnah tersebut.
China Press pula diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM150,000, kos guaman RM80,000, serta faedah lima peratus setahun.