KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Tee Kai Wun bertekad untuk memburu gelaran ketiga bersama Man Wei Chong, sekali gus mencerahkan impian layak ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada tahun ini.
Kai Wun berkata beliau berharap impian itu dapat direalisasikan menjelang Kejohanan Dunia di Paris, Perancis bermula dari 25 hingga 31 Ogos ini. “Memang, kita akan berjuang untuk ke kejuaraan dunia sebab semua orang pun sudah tentu nak kejohanan besar ni. Bukan kejohanan dunia sahaja, tahun ni kita ada sasar mahu masuk jelajah dunia. Jadi, kita akan fokus setiap kejohanan,“ katanya selepas sesi latihan pasukan kebangsaan hari ini.
Untuk rekod, Kai Wun-Wei Chong yang kini berada di ranking ketujuh dunia berjaya meraih dua gelaran musim ini iaitu pada kejohanan Masters Indonesia dan Masters Malaysia.
Dalam pada itu, Kai Wun yang mengulas mengenai kejohanan dunia berkata kedudukan dalam ranking dunia ketika ini tidak memberi banyak kelebihan kepada mereka. Beliau bagaimanapun berkata mereka sudah bersedia untuk berjumpa dengan sesiapa sahaja bagi memburu gelaran juara dunia.
“Sekarang kami berada dalam kelompok lapan terbaik dunia, tapi itu juga bermakna kami boleh jumpa pasangan empat pilihan utama pada suku akhir. Jadi kami tak boleh cakap lebih sebab siapa pun boleh menang kalau dalam 10 kelompok terbaik tapi memang sasaran kami nak cuba bawa balik pingat dari kejohanan dunia,“ katanya. – Bernama