PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini tidak membincangkan isu berkenaan tuntutan ibu kepada model warga Belanda, Ivana Esther Robert Smit, supaya kerajaan membayar saman RM1.1 juta dalam tempoh 48 jam.
Perkara itu dimaklumkan oleh jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fahmi Fadzil menerusi sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
“Tidak dibincangkan,” katanya ringkas.
Terdahulu, media melaporkan ibu model warga Belanda menuntut supaya kerajaan membayar saman RM1.1 juta dalam tempoh 48 jam bermula hari ini seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Jika kerajaan gagal berbuat demikian, ibu Ivana, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang termaksud mengemukakan prosiding menghina mahkamah.
Perkara itu dinyatakan melalui surat tuntutan Smit yang dialamatkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar melalui firma guaman SN Nair & Partners.
Surat itu turut mengatakan sekiranya pihak kerajaan gagal melaksanakan pembayaran dalam tempoh yang dinyatakan, pihak kami telah diarahkan untuk mengambil apa-apa langkah undang-undang yang perlu dan sewajarnya, termasuk tetapi tidak terhad kepada prosiding penghinaan.
Semalam, Mahkamah Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu Ivana, Christina Carolina. – UTUSAN






