Anggota Jemaah Menteri hari ini menzahirkan ucapan takziah ke atas pemergian Paus Francis yang meninggal dunia pada usia 88 tahun di Vatican City pada Isnin.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick akan mewakili negara dalam merakamkan ucapan takziah Malaysia secara rasmi.
“Jemaah Menteri pada hari ini juga merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Paus Francis yang telah meninggal dunia dan Datuk Ewon Benedick akan secara rasmi mewakili kerajaan untuk menandatangani buku (takziah) di kedutaanVatican City di Kuala Lumpur.
“Manakala seorang menteri akan diutuskan untuk menghadiri Majlis Pengebumian Paus Francis.
“Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) juga telah menyatakan mendiang Paus Francis merupakan seorang yang lantang bersuara terutama tentang isu Gaza dan oleh itu perdana menteri sendiri amat menyanjungi jasa dan bakti mendiang Pope Francis,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kabinet di Kementerian Komunikasi, Putrajaya hari ini.
Ketua Gereja Roman Katolik pertama dari rantau Amerika Latin itu meninggal dunia semasa sambutan Paskah Isnin lalu pada usia 88 tahun.
Dia meninggal dunia akibat strok, kurang 24 jam selepas muncul di atas kerusi roda di Dataran St Peter untuk memimpin upacara Paskah di hadapan ribuan pengikutnya.
Mendiang sebelum ini tidak sihat dan dirawat di hospital selama lima minggu kerana jangkitan radang paru-paru.
Anwar sebelum ini turut menyifatkan Paus Francis sebagai pemimpin yang memperjuangkan keamanan, keadilan dan persefahaman antara agama.
Anwar berkata, dia secara peribadi berasa amat bertuah kerana diberi penghormatan untuk mengunjungi Paus Francis pada awal pentadbirannya di Vatican City.