Malaysia Oversight

‘Kabel? Tidak, saya bina nama sendiri’

By Utusan in September 18, 2025 – Reading time 2 minute
‘Kabel? Tidak, saya bina nama sendiri’


“TIADA jalan pintas, semua hasil usaha sendiri.”

Demikian kata pelakon, Farali Khan mengenai perjalanan karier lakonannya yang kini sudah pun berusia satu dekad.

Menumpang tuah itu persepsi biasa yang dihadap mana-mana pelakon sekiranya muncul ahli keluarga mereka yang lebih dahulu menjadi pelakon, penerbit atau pengarah.

Farali tidak terkecuali. Sebelum dia, abangnya, Miller Khan lebih dahulu mencipta nama. Malah lebih menyinar di Indonesia.

Farali menegaskan tiada istilah ‘jalan pintas’ dalam perjalanan kariernya. Semua hasil keringat sendiri. Tiada siapa yang beri laluan mudah, apatah lagi menumpang nama keluarga.

“Saya mulakan kerjaya lakonan pada tahun 2015 di Indonesia. Sebenarnya satu tahun saya menganggur sebelum ditawarkan berlakon filem 3 Dara.

“Abang saya cuma bantu carikan tempat tinggal di Jakarta. Yang lain, semua atas usaha saya sendiri. Saya bertahan di sana dengan duit simpanan. Saya pergi uji bakat dan sesi casting tanpa pertolongan sesiapa.

“Jadi, Kalau ada yang kata saya dapat jalan mudah berlakon di sana kerana abang saya, mereka silap.

“Pencapaian saya adalah hasil titik peluh sendiri. Begitu juga adik beradik saya yang lain. Kami semua berdikari dan berusaha. Tidak guna cable, semua atas usaha sendiri,” katanya.

Farali atau Norfara Ali Dad Khan memaklumkan dia tidak akan sia-siakan sekiranya muncul peluang untuk kembali berlakon di Indonesia.

“Saya belajar bahasa Indonesia ketika tiga tahun tinggal di sana. Sampai sekarang saya masih boleh berbahasa Indonesia dengan baik.

“Bukan senang nak menguasai bahasa Indonesia. Saya belajar melalui pergaulan ketika tiga tahun menetap di sana.

“Sebab itu kalau ada peluang berlakon di Indonesia, saya akan pertimbangkan dan tidak sia-siakan,” ujarnya.

SRIKANDI
Farali tidak mengambil masa lama sebelum menerima tawaran untuk melakonkan watak Tuanku Siti Zubaidah dalam telefilem Srikandi. Baginya watak itu tidak harus dilepaskan.

“Watak ini berbeza dengan karakter yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Tuanku Siti Zubaidah ini orangnya ayu, pertuturan lembut dan jati diri kemelayuannya pun menebal.

“Yang mengenali saya, pasti tahu yang saya ini seorang lasak. Memang tidak pernah saya bawa watak seperti Siti Zubaidah ini,” katanya.

Farali menggalas tanggungjawab yang besar menerusi pembabitan dalam filem cereka arahan Wan Mohd Afzam Wan Daud.





Source link