PETALING JAYA: Pemain perseorangan muda Malaysia, Justin Hoh mengakui latihan intensif di Denmark baru-baru ini telah menyumbang kepada peningkatan prestasinya.
Anak jati Kuala Lumpur berusia 21 tahun itu mempamerkan persembahan yang tenang dan matang sewaktu mencipta kejutan ke atas pemain No. 13 dunia, Toma Junior Popov dari Perancis 21-12, 21-17 pada pusingan pertama Terbuka Hong Kong, semalam.
Kemenangan tersebut merupakan kejayaan sulung diukir Justin pada kejohanan berstatus Super 500 itu, selepas sering ditunjukkan jalan keluar oleh pemain berada di ranking lebih tinggi sebelum ini.
Menghuni ranking ke-38 dunia, Justin secara perlahan-lahan menunjukkan peningkatan dan pada Terbuka Macau, bulan lalu, dia sekurang-kurangnya berjaya menaiki podium selepas muncul naib juara pada kejohanan berstatus Super 300.
Justin berkata, kemenangan yang dicatatnya, semalam, merupakan satu pencapaian yang baik bagi mendorongnya mempamerkan persembahan yang lebih bagus di pusingan seterusnya.
“Jurulatih Kenneth (Jonassen) telah banyak membantu saya semasa sesi latihan dan beliau juga telah membawa saya berlatih di Denmark, dua minggu lepas.
“Saya gembira dapat bermain dengan baik dan mencatat kemenangan, saya harap dapat teruskan kemenangan ini dalam perlawanan, esok (hari ini),” katanya.
Pada peringkat 16 terbaik, Justin bakal berdepan Leong Jun Hao selepas rakan senegaranya itu menewaskan seorang lagi wakil Malaysia, Lee Zii Jia 21-16, 21-16 dalam masa 40 minit di pusingan pertama.
Mengulas mengenai pertembungan sesama sendiri itu, Justin berkata, dia gembira dapat bertemu Jun Hao di pusingan kedua dan siapapun yang muncul sebagai pemenang, mereka berdua tetap mewakili bendera yang sama iaitu Malaysia.
Sementara itu, Jun Hao ketika ditemu bual selepas menewaskan Zii Jia berkata, berdepan rakan seperjuangannya itu tidak mudah kerana mereka berdua pernah berlatih bersama.
“Sebelum ini saya tak pernah menang ke atas Zii Jia, saya cuma membuat persediaan dan beraksi dengan baik, saya sedar dia cuba tingkatkan kelajuan di tengah-tengah permainan dan memaksa saya bekerja keras,” katanya.-UTUSAN