KUANTAN: Seorang jurutera mengalami kerugian sebanyak RM230,000 selepas terperangkap dalam skim pelaburan tidak wujud yang disertainya secara dalam talian bulan lalu.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 67 tahun itu pada mulanya menerima mesej melalui WhatsApp daripada seorang individu yang menawarkan peluang pelaburan dengan pulangan lumayan.
“Mangsa ditawarkan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan sehingga RM150,000 sekiranya melabur RM50,000. Lelaki itu kemudian membuat sembilan transaksi ke empat akaun bank berbeza antara 16 hingga 31 Julai lalu,“ jelas Yahaya.
Selepas menggunakan wang simpanannya untuk pelaburan tersebut, mangsa terus diminta membayar tambahan atas alasan kononnya terdapat masalah dalam pemprosesan pelaburan. Keadaan ini membuatkan mangsa sedar telah ditipu.
Kes ini telah dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut dan sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan. – Bernama