Seorang jururawat wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mencederakan jirannya sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanan mangsa retak pada Mei lalu.
Chan Siew Peng, 51, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Lim Siew Woi, 55, dengan menolak pintu jeriji rumah mangsa berulang kali di sebuah unit kondominium di Taman Bukit Indah, Kuala Lumpur, pada 3.30 petang 15 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Difahamkan kejadian itu berlaku kerana mangsa dikatakan membuat bising sehingga mendorong tertuduh ke kediaman tersebut.
Terdahulu, timbalan pendakwa raya Noor Syafina Mohd Radzuan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala Chan – yang tidak diwakili peguam – merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan dia ibu tunggal dan perlu menyara seorang anak lelaki berusia 15 tahun yang masih bersekolah.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Dis ini untuk sebutan kes bagi lantikan peguam.
– Bernama






