Malaysia Oversight

Jurulatih Singapura seru pemain kawal emosi hadapi Malaysia

By TheSun in September 4, 2025 – Reading time 2 minute
Jurulatih Singapura seru pemain kawal emosi hadapi Malaysia


KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih sementara Singapura Gavin Lee mengingatkan pemainnya supaya sentiasa mengawal emosi dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Gavin yang dilantik ke jawatan itu pada Jun berikutan peletakan jawatan Tsutomu Ogura menyedari pengurusan emosi amat penting untuk pemain dan barisan kejurulatihan dalam perlawanan berintensiti tinggi itu.

Beliau menekankan bahawa kedua-dua pasukan merupakan seteru tradisi yang sentiasa membawa ketegangan dan emosi tinggi dalam setiap pertemuan.

“Apabila terlalu emosi, kita cenderung untuk lupa apa yang perlu dilakukan dan ini boleh menjadi penghalang kepada prestasi pemain,“ katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.

Gavin turut menyifatkan penampilan sulungnya sebagai ketua jurulatih Singapura sebagai satu penghormatan besar terutamanya kerana menentang seteru lama Malaysia.

Bekas ketua jurulatih BG Tampines Rovers FC itu mengakui tanggungjawab berat yang digalasnya untuk memastikan pasukan memberikan persembahan terbaik.

Sementara itu, ketua pasukan Safuwan Baharudin percaya skuad Malaysia telah berkembang dengan ketara sejak pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada Disember.

Pemain tengah bertahan berusia 33 tahun itu menyatakan kemasukan lebih ramai pemain naturalisasi telah mengukuhkan lagi skuad Harimau Malaya.

Safuwan yang memiliki pengalaman luas dalam pertembungan ‘Derbi Tambak’ berkata Malaysia kekal konsisten dalam visi jangka panjang mereka untuk meningkatkan tahap bola sepak negara.

Dalam lima pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan, Malaysia mencatat satu kemenangan, dua seri dan dua kekalahan kepada Singapura.

Perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan berkesudahan 0-0 dalam aksi peringkat kumpulan Piala ASEAN 2024.

Selepas menentang Malaysia, Singapura yang mendahului Kumpulan C dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 akan menentang India di laman sendiri pada 9 Oktober. – Bernama



Source link