Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah merekodkan penyelesaian rasmi apabila penyanyi rap dan personaliti media sosial Ariz Ramli, atau lebih dikenali sebagai Caprice, bersetuju untuk memadam semua kenyataan berunsur fitnah terhadap jurulatih gimnasium terkenal, Murad Zaidi, selepas satu perintah persetujuan direkodkan di mahkamah.
Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Avinder Singh Gill pada 7 November, selepas Caprice bersetuju menarik balik semua kenyataan dan hantaran di media sosial termasuk Instagram dan TikTok yang mencemarkan nama baik Murad.
Dalam kenyataan bersama yang difailkan di mahkamah, kedua-dua pihak bersetuju bahawa penyelesaian ini merupakan penyelesaian muktamad, dengan syarat bahawa Caprice tidak akan lagi mengeluarkan sebarang kenyataan baru yang boleh dianggap memfitnah, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Peguam yang mewakili Murad, Mohamad Nufail Altaf, mengesahkan perkara itu dan menjelaskan bahawa penyelesaian ini direkodkan di bawah Perintah Persetujuan (Consent Judgment), satu mekanisme undang-undang yang membolehkan kompromi dicapai tanpa keputusan substantif dibuat oleh hakim.
“Caprice telah mengakui untuk memadam dan menghentikan semua kenyataan terhadap anak guam saya sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Penyelesaian tersebut direkodkan di bawah Perintah Persetujuan (Consent Judgment), satu mekanisme yang membolehkan pihak-pihak mencapai kompromi tanpa keputusan substantif dibuat oleh hakim.
“Mahkamah turut merekodkan persetujuan bahawa semua pihak perlu mematuhi terma penyelesaian itu sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang tindakan lanjut,” kata Nufail kepada Malaysiakini.
Murad, yang merupakan pengasas Badcave Training Facility, memfailkan saman fitnah tersebut pada Ogos lalu.
Ini selepas beberapa hantaran Caprice di media sosial mengandungi tuduhan yang didakwa palsu dan berniat jahat yang menjejaskan reputasi dan kredibilitinya sebagai jurulatih profesional.
Bercakap kepada Malaysiakini, Murad berkata penyelesaian ini menandakan kemenangan moral buatnya.
“Saya bersyukur kebenaran akhirnya terbukti. Saya tidak perlu menjerit untuk mempertahankan diri. Kebenaran ada cara tersendiri untuk bercakap.
“Saya membina nama dan kerjaya saya atas asas integriti, disiplin dan kejujuran. Mereka boleh menulis apa sahaja, tetapi fakta dan hasil kerja saya tidak pernah berbohong,” katanya.






