PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao membuktikan statusnya selaku pemain No. 1 kebangsaan apabila menumbangkan rakan senegara, Justin Hoh pada pusingan kedua Terbuka Hong Kong, malam tadi.
Pemain ranking ke-23 dunia itu terpaksa berhempas pulas sebelum merakam kemenangan 21-11, 15-21, 21-18 dalam pertarungan sengit selama sejam enam minit.
Kejayaan itu sekali gus melayakkan Jun Hao ke suku akhir Siri Jelajah Dunia buat kali kedua musim ini selepas mencatat pencapaian sama di Terbuka Singapura.
Lebih manis, ianya juga kemenangan pertama Jun Hao ke atas Justin dalam tiga pertemuan rasmi selepas tunduk di Cabaran Antarabangsa Malaysia 2022 dan Terbuka Syed Modi tahun lalu.
Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu akan berdepan cabaran getir pada aksi suku akhir esok apabila menentang wakil China yang juga pilihan kedua kejohanan, Li Shi Feng.
Namun bayangan kerisauan terus menyelubungi kem beregu lelaki apabila Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sekadar menambah episod duka dengan tersingkir awal sekali lagi.
Beregu No. 3 dunia itu dikejutkan gandingan kembar Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen yang berada di ranking ke-27 dunia dengan keputusan 14-21, 21-16, 21-13.
Kekalahan itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin gagal mara ke suku akhir dalam tiga kejohanan berturut-turut termasuk tersingkir awal di Kejohanan Dunia Paris bulan lalu.
Sementara itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin terus mencuri perhatian selepas sekali lagi mengetepikan gandingan senior, Goh Soon Huat-Shevon Lai dalam pertarungan sesama Malaysia.
Pasangan ranking ke-14 dunia itu menundukkan gandingan suami isteri berkenaan 21-10, 14-21, 21-16 untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut sekali gus melangkah ke suku akhir.
Aksi suku akhir menyaksikan Pang Ron-Su Yin berdepan ujian getir apabila dijadualkan menentang pasangan pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Pin. – UTUSAN