Malaysia Oversight

Judi haram kembali kuasai Kuala Lumpur

By MkiniBM in October 13, 2025 – Reading time 3 minute
Judi haram kembali kuasai Kuala Lumpur


Selepas hampir lima tahun Kuala Lumpur bebas secara fizikal daripada cengkaman kedai judi haram, kegiatan itu kini muncul semula dengan lebih berani dan tersusun. Walaupun sebelum ini ada operasi yang dijalankan secara tersembunyi di sebalik tabir, hari ini mereka berani membuka kedai fizikal dan menjalankan perniagaan secara terang-terangan di kawasan tumpuan penduduk.

Di sekitar Parlimen Batu dan Segambut, kegiatan ini semakin meluas. Ada premis yang dari luar kelihatan seperti kafe atau kedai biasa, namun hakikatnya menjadi tempat pelanggan menjalankan aktiviti judi dalam talian. Kini pelanggan hanya memerlukan telefon bimbit untuk bermain dan memindahkan wang ke akaun tertentu, menjadikan kegiatan ini sukar dikesan serta dikawal.

Selain itu, kegiatan nombor ekor haram (black) turut kembali aktif. Jika dahulu operasi mereka dijalankan secara sembunyi, kini mereka bergerak secara terbuka. Tiada lagi tiket fizikal seperti dulu. Pelanggan hanya menulis nombor di atas kertas biasa dan transaksi disahkan melalui aplikasi WhatsApp atau WeChat. Kaedah ini menjadikan urusan mereka pantas, tidak dapat dikesan, dan terus mengalirkan jutaan ringgit kepada sindiket tanpa sebarang kawalan atau cukai.

Sindiket ini juga bijak menarik pelanggan dengan pelbagai kemudahan. Ada yang menyediakan makanan dan minuman percuma bagi memastikan orang ramai kekal lama di premis. Di sebalik operasi ini wujud tokey besar yang mengawal dari jauh, biasanya warga tempatan yang menggunakan pekerja asing di kaunter bagi mengelak dikesan.

6d126fc4b8f3b65bd28044f35ad6f105

Sasaran utama mereka ialah warga asing kerana transaksi tunai lebih mudah dan tidak meninggalkan jejak. Warga asing juga tidak membayar cukai, namun menjadi sumber keuntungan besar kepada sindiket yang mampu mengaut jutaan ringgit setiap bulan. Ketirisan ini bukan sahaja merugikan hasil negara, tetapi turut memperlihatkan kelemahan penguatkuasaan di semua peringkat.

Lebih mengejutkan, penguat kuasa seolah-olah tidak nampak kewujudan aktiviti ini. Mustahil operasi sebesar ini boleh berlangsung tanpa pengetahuan mereka. Jika orang awam mampu mengenal pasti lokasi-lokasi tersebut, mengapa pihak berkuasa yang memiliki sumber dan kuasa seolah-olah tidak bertindak?

sebelum ini menegaskan komitmen untuk membanteras rasuah dan ketirisan. Namun apabila kedai judi haram dan nombor ekor black terus beroperasi secara terbuka, rakyat berhak mempersoalkan sama ada ada pihak tertentu yang sengaja membiarkan perkara ini berterusan.

3007049cf3879af16700907c4e5228df

Tindakan tidak boleh bermusim. Premis yang dikenal pasti perlu disita serta-merta dan pemiliknya didakwa tanpa kompromi. Denda ringan hanya memberi isyarat bahawa undang-undang boleh dibeli dengan wang.

Kerjasama antara DBKL, polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta kementerian berkaitan mesti diperkuatkan. Kegiatan perjudian kini bukan lagi terhad kepada kedai fizikal, tetapi sudah berpindah ke ruang digital dengan transaksi tanpa sempadan. Tanpa kerjasama menyeluruh, usaha membanteras akan kekal longgar dan gagal mencapai hasil sebenar.

Rakyat tidak boleh berdiam diri. Setiap laporan, aduan dan desakan kepada pihak berkuasa menjadi isyarat bahawa masyarakat menolak jenayah ini dan mendesak tindakan tegas diambil. Membanteras judi haram bukan tanggungjawab semata-mata, tetapi amanah bersama seluruh masyarakat. Kuala Lumpur mesti kekal sebagai bandaraya yang maju dan bermaruah, bukan tempat sindiket mengaut untung di atas keruntuhan nilai dan undang-undang.


MAHATHIR MOHD RAIS merupakan bekas setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan dan kini ahli .

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Source link