JPJ Selangor Guna Kamera Badan Tingkatkan Integriti Operasi
Amy Maizuraa
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mula menggunakan kamera badan sejak minggu lalu bagi meningkatkan integriti ketika bertugas. Rakaman visual serta audio daripada kamera badan ini boleh dijadikan bukti sokongan yang sah. Pada masa sama, penggunaannya bertujuan melindungi pegawai daripada salah faham, tuduhan tidak berasas atau gangguan semasa menjalankan tugas.

Penggunaan kamera badan difahamkan bukan semata-mata untuk menghukum tetapi turut berperanan mendidik serta memastikan pemilik kenderaan mematuhi had muatan dan piawaian keselamatan jalan raya. Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan. JPJ Selangor kini memiliki 27 unit kamera badan yang baru digunakan dan setakat ini hanya pegawai penguat kuasa lapangan, kakitangan kaunter serta pegawai pemeriksaan kenderaan dilengkapi dengan peranti tersebut.

Imbas kembali, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula melaksanakan projek rintis penggunaan kamera badan pada tahun 2024 sebelum diperluas cara berperingkat. Selain itu, Jabatan Kastam turut memperkenalkan kamera badan sebagai sebahagian daripada inisiatif integriti selepas menjalankan ujian sejak tahun 2023.






