PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan saluran pendaftaran JPJeID di Institut Memandu (IM) di seluruh negara berkuat kuasa hari ini. Inisiatif ini bertujuan memudahkan orang awam melaksanakan urus niaga berkaitan pelesenan pemandu secara digital.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli menjelaskan, JPJeID merupakan akaun yang mengandungi ID Pengguna dan Kata Laluan untuk akses ke portal MySIKAP dan aplikasi MyJPJ. “Menerusi pendaftaran ini, warganegara Malaysia boleh menjalankan 38 jenis urus niaga JPJ dalam talian,“ katanya dalam satu kenyataan.
Antara kemudahan terbaharu ialah peluang untuk calon pemandu yang lulus Ujian Kurikulum Pendidikan Pemanduan (KPP01) memohon Lesen Belajar Memandu (LDL) terus melalui MySIKAP. “Lesen LDL akan dipaparkan secara digital dalam aplikasi MyJPJ selepas pembayaran berjaya,“ tambah Aedy Fadly.
Dengan perluasan saluran pendaftaran ini, orang ramai kini boleh mendaftar JPJeID di mana-mana IM bagi mengakses pelbagai perkhidmatan JPJ secara dalam talian. Langkah ini selari dengan usaha kerajaan untuk mendigitalkan sepenuhnya perkhidmatan awam. – Bernama