JPJ bekerjasama dengan Imigresen tangani syarikat guna pemandu lori warga asing tak berlesen, 25 lori disita dalam operasi terbaru
SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi melaksanakan tindakan bersepadu menangani kes syarikat yang menggaji warga asing sebagai pemandu lori tanpa lesen memandu sah.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata penguatkuasaan bersepadu itu adalah langkah terbaharu selepas banyak kes berulang dikesan, terutamanya melibatkan pemandu lori sampah.
Beliau berkata syarikat pembersihan milik kerajaan negeri Selangor masih menggajikan warga asing tanpa lesen memandu sah sebagai pemandu lori walaupun amaran telah diberikan.
“Berdasarkan statistik dari Januari hingga hari ini, JPJ Selangor telah mengesan 5,915 kesalahan membabitkan pemandu warga asing dalam operasi membabitkan syarikat pembersihan tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejakat JPJ Selangor.
Sebanyak 2,170 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, dengan 1,729 notis arah periksa, 1,620 notis larangan penggunaan kenderaan, dan 154 notis temu siasat turut dikeluarkan.
Notis sita sebanyak 138 dan notis meminta butiran pemandu seramai 104 juga dikeluarkan dalam tempoh tersebut.
Muhammad Kifli berkata dalam tempoh 10 hari lepas, 25 lori sampah milik syarikat yang sama telah disita.
Lori-lori tersebut disita kerana dipandu oleh warga asing tidak berlesen, tidak mempunyai cukai jalan dan insurans, serta kenderaan tidak diselenggara dengan baik.
Beliau berkata kadar hukuman sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda minimum antara RM300 hingga RM1,000 disifatkan terlalu ringan.
“Hukuman ini tidak memberi kesan pencegahan kepada syarikat atau pengusaha lori,” katanya.
Untuk 25 lori yang disita, JPJ akan mengambil tindakan pelucutan hak di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Namun tindakan ini masih tidak memadai kerana syarikat yang menggaji pemandu tidak sah tidak dikenakan hukuman secara langsung.
“Kebanyakan pekerja ini menyalah guna permit kerja, jadi semua 25 kes ini akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Muhammad Kifli berkata pendekatan penguatkuasaan bersepadu JPJ dan JIM itu adalah langkah baharu bagi menangani kesalahan berulang.
Langkah ini juga bertujuan mengelakkan insiden kemalangan terutamanya membabitkan kenderaan berat. – Bernama
Post Views: 1






